Menjadi Muslim dan beragama Islam merupakan hak setiap orang tanpa ada paksaan. Bahkan Islam tidak melarang orang Islam untuk menjalinkan hubungan baik dengan bukan Islam yang tidak memusuhi apalagi memerangi orang Islam. Hal ini kerana konsep universal Islam adalah memberi dan menebarkan kasih sayang di seluruh alam semesta. Namun, apabila seseorang telah memeluk Islam, ia perlu mengikut segala peraturan dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai seorang Muslim dan tidak boleh sama sekali bertindak keluar daripada agama Islam sesuka hati. Tidak ada pilihan bagi seseorang Muslim untuk murtad keluar daripada agama Islam bahkan ketetapan syariat mengkehendaki hukuman bunuh bagi sesiapa yang murtad.
Namun, bagi golongan yang mahu murtad daripada agama Islam ini, mereka mendakwa bahawa Islam sebagai agama rahmat telah memberikan hak kepada setiap orang untuk memilih agama, maka sudah tentu hak yang sama harus diberi kepada orang yang ingin menggantikan keyakinannya sebagai Muslim kepada agama lain. Pendapat begini adalah pendapat orang yang jahil agama dan sesat yang terpengaruh dengan fahaman liberal Barat yang benar-benar menyesatkan umat Islam sekarang ini.
Bagaimanapun, seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat sekarang ini, penularan dakyah-dakyah melalui media sosial yang menyeru orang Melayu Islam supaya murtad dilihat semakin meningkat. Pelbagai idea yang diketengahkan untuk memberi keyakinan bahawa murtad telah mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik dan tenang. Umpamanya ditonjolkan gaya hidup yang gah selepas menjadi murtad, dicanangkan juga kehidupan menjadi bertambah bahagia dan tenang disamping keluarga yang kononnya selepas keluar daripada agama Islam dan berbagai dakyah lagi. Semua dakyah secara terbuka di media sosial oleh orang Melayu yang telah murtad ini dikhuatiri mampu mengganggu gugat akidah anak-anak muda Melayu Islam yang lain untuk turut mengikut jejak langkah mereka terutamanya bagi mereka yang jahil agama dan mempunyai pegangan akidah yang begitu rapuh.
Keterbukaan pemikiran dan kelantangan melontarkan pendapat, golongan murtad ini dengan tidak segan silu mengisytiharkan mereka sebagai Melayu Kristian di profil media sosial mereka sedangkan mereka masih mengekalkan imej sebagai seorang yang beragama Islam seperti bertudung dan sebagainya. Hal ini memang sangat bahaya kerana dengan berimejkan Melayu Islam dan kelihatan baik tetapi pada masa yang sama mereka turut menyeru orang Melayu Islam yang lain untuk turut serta meninggalkan Islam.
Pertukaran agama menurut Islam adalah tidak dibenarkan dan merupakan jenayah yang boleh dikenakan tindakan tegas terhadap pelakunya. Sebaliknya di Malaysia, undang-undang berkaitan murtad perlu dikemaskini dan masyarakat amnya perlu lebih prihatin tentang gejala murtad yang semakin membimbangkan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad turut menjalankan inisiatif bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperketatkan peraturan di Media Sosial dalam usaha mengekang gejala murtad terutamanya dalam kalangan orang Melayu Islam.
Sumber: Jurnal Wacana Hukum Islam dan Kemanusiaan, Volume 14 (1) (2014 dan Republika, 13 Ogos 2020.