Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, ajaran sesat tidak lagi bergerak secara tersembunyi, sebaliknya berkembang pantas melalui platform digital. Medium seperti TikTok, Telegram, Instagram dan YouTube menjadi saluran utama penyebaran fahaman menyimpang yang sering diselindungkan dengan imej agama. Kandungan sensasi dan luar biasa lebih mudah menarik perhatian, sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan akidah.
Mengapa ajaran sesat mudah hidup?
Antara puncanya ialah kelemahan asas ilmu agama dalam kalangan masyarakat. Tanpa pemahaman yang kukuh, seseorang mudah terpedaya dengan tafsiran yang menyeleweng, lebih-lebih lagi apabila ditawarkan “jalan mudah” ke arah ketenangan jiwa atau ganjaran akhirat. Selain itu, pemimpin ajaran sesat lazimnya memiliki pengaruh dan kebolehan memanipulasi emosi, menyebabkan pengikut taat tanpa berfikir panjang. Teknologi pula mempercepatkan penyebaran tanpa sempadan, manakala tahap kesedaran masyarakat masih belum cukup kuat untuk menanganinya.
Terdapat banyak kes sebelum ini menunjukkan bagaimana ajaran sesat boleh berkembang secara senyap di Malaysia sebelum terbongkar. Antaranya seperti ajaran Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan dakwaan pelik berkaitan agama, serta ajaran Millah Abraham yang membawa fahaman menyimpang daripada akidah Islam. Kumpulan-kumpulan seperti ini sering mendakwa memiliki “ilmu khas” atau kedudukan istimewa sehingga mengubah asas ibadah, malah ada yang menolak syariat secara terbuka.
Lebih membimbangkan, pendekatan rekrut kini semakin moden iaitu melalui media sosial dan kumpulan tertutup yang menjadikan pengaruhnya sukar dikesan pada peringkat awal. Kes-kes seperti ini membuktikan bahawa ancaman ajaran sesat bukan sekadar teori tetapi realiti yang sedang berlaku.
Kesimpulannya, kemajuan teknologi perlu disertai dengan kematangan ilmu dan sikap berhati-hati. Tanpa tapisan dan prinsip yang jelas, masyarakat berisiko terjebak dalam fahaman yang menyimpang tanpa disedari.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor








