Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATU-PADULAH WAHAI UMAT ISLAM BERSATU PADU ITU ADALAH ASAS PENGUKUHAN KEPADA KEKUATAN...

BERSATU-PADULAH WAHAI UMAT ISLAM BERSATU PADU ITU ADALAH ASAS PENGUKUHAN KEPADA KEKUATAN AGAMA ISLAM

911
0

Jika dilihat pada suasana hari ini, ramai di kalangan umat Islam yang berpecah belah hanya kerana hal yang remeh. Itu belum masuk lagi tentang perbezaan pandangan dan ideologi pemahaman politik yang berpenjuru. Apakah ini yang dianjurkan oleh Islam, menggalakkan umatnya berpecah belah? Islam telah mengajarkan umatnya supaya bersatu – padu dan menjaga ikatan silaturahim serta ukhuwah dengan padu mengikut seperti mana yang dinyatakan di dalam al – Quran:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara..” (QS Ali ‘Imran: 103).

Sesungguhnya hubungan silaturrahim dan perpaduan itu amat penting kerana tiada seorang pun boleh hidup sendirian, tetapi saling memerlukan antara satu sama lain. Kerana itu agama Islam memerintahkan umatnya supaya umatnya membina hubungan silaturrahim sesama kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga, teman sekerja mahupun masyarakat sekeliling dan kuncinya adalah bersatu – padu.

Bersatu – padu merupakan sendi dan tunjang kekuatan perpaduan umat Islam yang dapat menjamin keharmonian dalam kehidupan. Kerana itu ikatan perpaduan perlu dijaga dan dipelihara agar terus berpanjangan dan tetap dinikmati, hidup subur dan berterusan hingga ke akhir hayat. Bagi menjadikan ia suatu kenyataan, Islam telah menggariskan beberapa syarat, antaranya ialah Persaudaraan itu hendaklah dibina atas dasar ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala berasaskan iman dan taqwa, berlandaskan syariat Islam dan diamalkan secara konsisten baik dikala senang mahupun susah.

Kita perlu ingat bahawa umat yang berpecah belah, tiada perpaduan, tiada silaturrahim menyebabkan tiada kekuatan. Menjadi umat yang lemah dan rapuh. Hasil kewujudan ukhuwah Islamiah itu dapat dirasakan dan dinikmati bila mana sifat ingin bantu membantu dan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya bersemarak ke dalam jiwa dan turut merasa senang jika saudara-saudara kita memperolehi nikmat dan kebahagiaan, jauh sekali merasa dengki dan khianat.

Bersatu – padulah wahai umat Islam! Kuatkan ukhuwah kita sesama umat Islam agar Islam dilihat sebagai agama yang kuat dan kukuh. Inilah kunci kepada asas pengukuhan agama Islam. Marilah kita bersama-sama meningkatkan, menjaga dan memelihara tali persaudaraan kita agar tidak putus dan musnah. Binalah dengan asas keimanan dan kekuatan. Berdoalah kepada Allah SWT semoga tali persaudaraan kita tetap kukuh untuk selama-lamanya. Mudah-mudahan dengan demikian kita dapat membina keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita ini. Allah SWT berfirman:

“Bahawasanya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damai kanlah diantara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu Wataala supaya kamu beroleh rahmat”. (QS al – Hujurat: 10).

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)