Fenomena ‘fatwa segera’ yang semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial hari ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Walaupun perkembangan teknologi membuka ruang luas kepada usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam, hakikatnya ia turut membawa cabaran besar apabila wujud individu yang menyampaikan hukum agama tanpa kelayakan, disiplin ilmu serta autoriti yang sah. Dalam keghairahan mengejar perhatian dan pengaruh di alam maya, terdapat pihak yang terlalu mudah mengeluarkan pandangan agama sehingga menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.
Dalam tradisi keilmuan Islam, penyampaian ilmu agama bukanlah perkara yang boleh dilakukan secara sembarangan. Islam menekankan prinsip al-ta’ahhud al-‘ilmi iaitu amanah ilmiah serta al-talaqqi bi al-sanad yang merujuk kepada penerimaan ilmu melalui rantaian guru yang sah dan berautoriti. Firman Allah SWT:
“Maka bertanyalah kepada ahli al-zikr (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui.” (QS Al-Nahl: 43).
Selain itu, Allah SWT turut mengingatkan dalam firman-Nya:
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.” (QS Al – Isra’: 36).
Rasulullah SAW juga memberi amaran keras tentang bahaya manusia bercakap soal agama tanpa ilmu. Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu secara sekali gus, tetapi mencabutnya dengan mewafatkan para ulama. Hingga apabila tiada lagi orang alim, manusia akan melantik pemimpin yang jahil; mereka ditanya lalu berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menggambarkan betapa besarnya mudarat apabila autoriti keilmuan tidak lagi dihormati dan masyarakat mengambil pandangan daripada individu yang tidak berkelayakan.
Hakikatnya, dalam disiplin fiqh Islam, pengeluaran hukum bukan sekadar membaca nas secara literal atau memetik terjemahan ayat dan hadis semata-mata. Ia memerlukan penguasaan mendalam terhadap usul fiqh, qawa’id fiqhiyyah, maqasid syariah serta kefahaman terhadap realiti semasa atau fiqh al-waqi’. Dari sudut maqasid syariah, penyebaran ilmu agama tanpa autoriti boleh membawa kepada kerosakan terhadap agama (hifz al-din), iaitu salah satu daripada daruriyyat al-khams yang wajib dipelihara. Apabila orang yang tidak berilmu tampil seolah-olah mempunyai autoriti, ia bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, bahkan mampu memesongkan kefahaman masyarakat terhadap syariat Islam.
Kesan daripada fenomena ini amat membimbangkan. Antaranya ialah berlakunya penyelewengan kefahaman agama, timbulnya kekeliruan dan pertentangan dalam masyarakat serta normalisasi budaya mengeluarkan “fatwa” tanpa disiplin ilmu. Lebih membahayakan apabila agama dijadikan alat untuk meraih populariti, keuntungan atau memenuhi agenda peribadi tertentu. Akibatnya, masyarakat menjadi keliru untuk membezakan antara pandangan yang benar-benar berasaskan ilmu dengan pendapat yang sekadar bersifat sensasi dan dangkal.
Justeru, beberapa langkah strategik perlu diperkasakan bagi menangani isu ini. Institusi agama perlu memperkukuh kehadiran rasmi di platform digital dengan kandungan yang ringkas, mudah difahami tetapi tetap berautoriti. Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang berkaitan tauliah mengajar agama hendaklah dilaksanakan secara berhikmah demi memastikan penyampaian agama berada dalam kerangka yang terkawal.
Pendidikan literasi agama dan literasi digital juga amat penting supaya masyarakat mampu menilai kesahihan sesuatu pandangan sebelum menerima dan menyebarkannya. Di samping itu, usaha melahirkan lebih ramai pendakwah berautoriti yang mampu berinteraksi dengan gaya komunikasi semasa tanpa mengorbankan disiplin ilmu perlu diberi perhatian serius. Penyebaran ilmu agama mesti terus berteraskan prinsip sanad, autoriti dan amanah ilmiah agar umat Islam tidak terjebak dalam kekeliruan yang boleh merosakkan kefahaman terhadap syariat Islam.
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang








