Akhir tahun 2021 ditutup dengan kisah Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) oleh Sittah an-Nur, awal Januari dibuka dengan kisah seorang lelaki Kuala Kangsar yang mengajak umat Islam untuk bersiap sedia menerima kemunculan Imam Mahdi di Sabah dan bersiap sedia untuk berjihad, kini di penghujung Januari tular pula kisah penyebaran mimpi lelaki dari Pakistan melalui email, ‘zoom live’ dan ‘whatsapp group’ yang disebarkan oleh sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (GAZA).
Kumpulan GAZA ini sebenarnya berasal dari Indonesia yang dikatakan sedang membuat persiapan untuk menghadapi peristiwa akhir zaman berdasarkan mimpi seorang pemuda Pakistan yang dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim. Pemuda tersebut mendakwa mimpinya adalah sama sebagaimana khabar kenabian seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan mendakwa dirinya hanya mengikut kehendak Allah di dalam mimpinya.
Mengikut fakta para pengkaji, kumpulan GAZA setakat ini mempunyai lebih kurang 300 ahli yang mempercayai mimpi-mimpi pemuda tersebut dan menganggap semua perkara yang dimimpikan tersebut adalah benar berlaku. Malah, di Indonesia dikatakan umat Islam di sana sudah ramai yang terpengaruh dan semakin meningkat. Lebih teruk lagi, sehinggakan ada pengikut gerakan ini yang sedang berusaha mempersiapkan tanah uzlah (tempat mengasingkan diri bersama kumpulannya) di Pakistan untuk memudahkan orang ramai berhijrah.
Justeru itu, masyarakat Islam khususnya di Malaysia diharapkan janganlah mudah terpedaya dengan ajaran karut dan berkeyakinan terhadap perkara berkaitan agama yang bersifat terpencil daripada pengetahuan awam. Jika tidak yakin dengan sesuatu perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama, maka selidikilah dahulu dan rajinkan bertanya pada para alim ulama yang lebih berkepakaran dan berilmu dalam bidangnya. Janganlah terus membuat keputusan berdasarkan logik akal tanpa ilmu dan mengikut sesuatu perkara disebabkan semakin ramai orang yang mengikutnya kerana bilangan orang yang semakin ramai mengikutinya tidak melambangkan kebenaran.
Sumber: mstar.com.my – 27 JAN 2022