Islam meletakkan tuntutan mencari yang halal sebagai satu kewajipan dalam kehidupan setiap Muslim. Hari ini, kesedaran umat Islam terhadap kepentingan halal semakin meningkat, bukan sahaja dalam aspek makanan dan minuman, malah meliputi ubat-ubatan, kosmetik, pakaian serta keperluan harian yang lain. Firman Allah SWT:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (QS al-Baqarah:168).
Walaupun kesedaran itu semakin berkembang, masih terdapat segelintir umat Islam yang memandang ringan soal halal dan haram. Tular di media sosial baru-baru ini mengenai sebuah gerai nasi ayam yang diragui status halalnya kerana pemiliknya bukan beragama Islam, selain timbul dakwaan bahawa sumber ayam diperoleh daripada pusat pemprosesan yang tidak mempunyai pensijilan halal. Sebagai seorang Muslim, kita dituntut agar berhati-hati dan menjauhi perkara yang syubhah. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, maka dia telah memelihara agama dan maruahnya.”(HR Bukhari dan Muslim).
Lebih membimbangkan apabila terdapat umat Islam yang tetap menyokong sesuatu produk hanya kerana populariti, harga yang murah atau menjadi tular di media sosial, tanpa mengambil berat status halalnya. Sikap ini boleh melemahkan institusi halal yang dibina dengan penuh amanah serta mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sedangkan Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya hanya menikmati rezeki yang halal lagi baik sebagai tanda kesyukuran kepadaNya.
Makanan yang halal bukan sekadar memberi manfaat kepada tubuh badan, bahkan memberi kesan kepada kebersihan hati, penerimaan doa dan keberkatan hidup. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang yang memakan makanan daripada sumber yang haram akan terhalang daripada dimakbulkan doanya. Baginda bersabda mengenai seorang lelaki yang bermusafir dan berdoa kepada Allah, namun makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, lalu Baginda bersabda:
“Bagaimana mungkin doanya diperkenankan?” (HR Muslim).
Sebagai umat Islam, kita wajib memastikan setiap makanan, minuman dan keperluan yang digunakan benar-benar halal serta menjauhi segala bentuk syubhah. Janganlah kita menggadaikan prinsip agama hanya kerana mengejar kelazatan, jenama atau populariti. Marilah kita bersama-sama memelihara kesucian syariat Islam dengan menjadi pengguna yang bijak, berilmu dan bertanggungjawab. Sesungguhnya mencari yang halal bukan sekadar pilihan, tetapi satu fardhu yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan








