Isu kewujudan kumpulan ajaran sesat di Selangor bukan perkara baharu, namun pendedahan mengenai kumpulan-kumpulan ini wajar menjadi amaran serius kepada umat Islam. Golongan ini sering bergerak secara halus dengan menyamar sebagai pendakwah, menawarkan “ilmu” tertentu atau menggunakan pendekatan kebajikan untuk mendekati masyarakat. Tanpa kesedaran dan pengetahuan asas agama yang kukuh, ramai boleh terpedaya dengan dakyah yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Lebih membimbangkan, antara kumpulan yang dikenal pasti termasuk Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Si Hulk, Risalah Bab Kesucian, GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Ajaran Makrifat, Ajaran Asmaul Husna, Ajaran Ibu Yati, Millah Abraham, Syiah dan Hizbut Tahrir. Ada antara mereka yang berani bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan fahaman, menjadikan kediaman peribadi sebagai sasaran utama. Taktik ini boleh mengelirukan terutama kepada warga emas, suri rumah atau individu yang kurang pendedahan agama.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah Al-An’am ayat 153: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah..” Justeru itu, kesedaran dan peranan masyarakat amat penting dalam membendung penularan ajaran sesat ini. Jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan, segera laporkan kepada pihak berkuasa agama agar tindakan sewajarnya dapat diambil.








