Amalan tabayyun semakin terhakis dalam era media sosial apabila ramai terlalu cepat “share” tanpa menyemak kesahihan. Demi kejar viral dan perhatian, kebenaran sering diketepikan hingga membuka ruang kepada fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.
Hakikatnya, Islam telah lama menekankan konsep tabayyun sebagai prinsip penting dalam kehidupan bermasyarakat. Tabayyun bermaksud menyelidik dan memastikan kebenaran sesuatu berita sebelum diterima atau disebarkan bagi mengelakkan fitnah dan perpecahan. Malah, tanpa amalan ini, masyarakat boleh terjerumus dalam konflik besar akibat salah faham dan maklumat palsu. Fenomena ini jelas berlaku hari ini apabila berita sensasi lebih cepat dipercayai berbanding fakta yang sahih.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 mengingatkan agar kita memeriksa kebenaran sesuatu berita supaya tidak menyesal kemudian hari. Dalam dunia digital yang penuh fitnah ini, jadikan jari kita alat menyebar kebaikan, bukan penyebab kerosakan. Populariti mungkin sementara, tetapi dosa akibat fitnah boleh berpanjangan.








