Fenomena suntikan kurus seperti Mounjaro (tirzepatide) kini semakin mendapat perhatian apabila ramai berkongsi pengalaman penurunan berat badan di media sosial. Ada yang menganggapnya sebagai jalan cepat untuk mendapatkan bentuk badan ideal. Namun, perlu difahami bahawa Mounjaro bukan sekadar “suntikan kurus” kerana ia merupakan ubat yang digunakan untuk rawatan diabetes tahap 2 dan penggunaannya perlu berdasarkan penilaian serta pemantauan doktor. Ia bukan jalan pintas untuk semua orang yang mahu menurunkan berat badan.
Apa yang membimbangkan, ada individu yang mengikut trend tanpa memahami kesan dan risiko penggunaannya. Antara kesan sampingan yang boleh berlaku termasuk loya, muntah, cirit-birit, sakit perut dan hilang selera makan. Dalam keadaan tertentu, penggunaan tanpa pemantauan yang betul boleh membawa risiko kesihatan yang lebih serius. Lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjual atau menawarkan suntikan tanpa kawalan yang sewajarnya semata-mata kerana permintaan yang tinggi.
Kesimpulannya, mahu kurus itu tidak salah, tetapi jangan sampai mengejar bentuk badan sehingga menggadaikan kesihatan. Jangan mudah terpedaya dengan trend media sosial, promosi berlebihan atau kisah kejayaan individu tertentu tanpa memahami risikonya. Berat badan boleh diturunkan dengan cara yang lebih selamat melalui pemakanan terkawal, aktiviti fizikal dan perubahan gaya hidup yang konsisten. Jangan jadikan tubuh badan sebagai bahan uji kaji kerana keputusan yang kita buat hari ini mungkin memberi kesan kepada kesihatan pada masa hadapan.








