Home Kemanusiaan/Motivasi MANTAPKAN KESATUAN UMMAH DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

MANTAPKAN KESATUAN UMMAH DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

509
0

Realiti umat Islam zaman ini sedang menghadapi ujian dan fitnah perpecahan yang besar di seluruh dunia. Permusuhan sesama umat Islam merupakan musibah yang besar yang belum ada kesudahannya sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki pada 3 Mac 1924. Sejak dari itu, umat Islam semakin hari menjadi semakin lemah dan jatuh ke tangan musuh Islam serta berjaya dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat yang meruntuhkan akhlak.

Musibah yang berlaku hari ini telah diperingatkan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis daripada Thauban Radhiallahu Anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya “Adakah kerana jumlah kami sedikit pada hari itu, Ya Rasulullah?”. Nabi SAW menjawab, “Tidak. Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati-hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu Ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, cinta pada dunia dan takut pada mati.” (HR Abu Daud)

Kita sebagai umat Islam yang memegang teguh kepada ajaran al-Quran dan As-Sunnah, seharusnya kita mengambil contoh daripada tindakan Rasulullah SAW dalam memantapkan kesatuan ummah demi kesejahteraan negara. Saat kita diuji, kita sepatutnya perlu bersatu-padu dalam mengukuhkan ukhwah, segera memadamkan anasir-anasir yang boleh membawa perpecahan umat dengan mendamaikan pihak yang bertelingkah. Ini kerana, perselisihan yang tidak dicegah segera akan mengundang musibah perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam.

Allah SWT berfirman:
“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah (QS Ali-Imran: 103).

Hakikatnya, umat Islam pada hari ini mesti berpegang teguh dengan seluruh seruan dan akhlak Rasulullah SAW untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS al-Hujurat: 10).

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)