Perbuatan membuka aib sendiri dan aib orang lain bukanlah akhlak seorang Muslim malah sangat dilarang oleh Allah SWT. Ketahulilah umat Islam diajar supaya tidak sewenang-wenangnya membuka aib sendiri. Apatah lagi, kelemahan yang terdapat pada orang lain. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW meminta supaya kita menutup keaiban sendiri ataupun orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR at – Tirmizi).
Namun, sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka keaiban sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita. Tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan, aib itu diuar-uarkan kepada umum.
Kemudian, dalam sehari dua ini, heboh dunia media sosial negara dengan beberapa isu hangat yang terkait dengan figura-figura berpengaruh tanah air. Ada yang ‘dilondehkan’ aib dan ada yang ‘melondehkan’ aib mereka sendiri. Ya, dunia sekarang sudah semakin tenat. Pelbagai unsur fitnah yang muncul hingga menyebabkan berlakunya perselisihan di kalangan masyarakat dan akhirnya menggalakkan kepada perpecahan. “Tahniah!” Kita semua telah memenuhi impian musuh-musuh Islam dengan mewujudkan harapan mereka untuk melihat kita semua berpecah-belah hanya kerana isu yang mudah ditangani.
Kita mengaku kita Islam, beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, beriman kepada al-Quran dan mengikuti ajaran Sunnah, tetapi mengapa masih ada lagi sekelumit ‘titik’ hitam dalam diri untuk membuka aib dan mengadu-domba? Bukankah itu perbuatan yang dilarang di dalam Islam? Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (HR Muslim).
Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya berterus-terusan untuk membuka pekung sendiri atau orang lain hanya kerana inginkan perhatian dan juga mengumpul jumlah followers di media sosial. Kalau benar si fulan melakukan sesuatu yang tidak baik atau sesuatu jenayah, laporkan kepada pihak berkuasa dan sentiasa ‘follow up’ kepada mereka tentang perkembangan kes. Bukannya terus-terusan menyebarkan aib yang masih belum tentu kesahihannya. Begitu juga kepada pihak yang suka membuka aib sendiri demi sebuah ‘content’, tidak ada apa yang anda perolehi melainkan dosa kerana menunjukkan pekung sendiri untuk tatapan awam kerana sifat ‘gila glamour’ anda.
Ingatlah, Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita agar menutup aib sesama Muslim kerana ianya bukan ajaran yang dibawa oleh Baginda. Ini tidak tertakluk kepada golongan yang berpengaruh bahkan juga kepada golongan marhaen. Allah SWT memelihara aib kita sehingga kini kerana Dia sayang akan hambaNya dan mahukan hambaNya sentiasa bermuhasabah diri dan mengambil iktibar atas apa yang terjadi. Bukannya disebarkan untuk tatapan umum. Persoalan, adakah kita cukup ‘suci’ dari aib yang Allah tolong pelihara?
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan