Sudah beberapa kali penulis membongkarkan kisah ajaran sesat oleh Si Hulk iaitu bermula dari tahun 2021 lagi. Dulu pengasasnya, Sohaini Mohammad, serta pengikutnya didakwa sudah bertaubat, namun mengapa pada tahun 2023 ini ajaran Si Hulk kembali ‘mengganas’? Dimanakah puncanya?
Baru sahaja beberapa bulan lepas, sekumpulan remaja cuba mempromosikan ajaran Si Hulk ini di sosial media, kini terdapat pula dakwaan golongan remaja yang terlibat aktif dengan kesesatan Si Hulk di Merlimau dan Jasin, Melaka. Lebih menggemparkan apabila tular video sebuah keluarga guru sains sekolah di Kapar, seramai lima orang membuat pengakuan kebenaran ideologi Si Hulk di sosial media. Hal ini boleh dianggap sebagai seruan kepada orang ramai untuk mengikutinya.
Mengapa kumpulan ajaran sesat Si Hulk ini dikatakan sesat?
1.Mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan, tidak beranak dan tidak diperanakkan;
2.Nabi Muhammad SAW adalah induk dan semua makhluk adalah cahaya baginda yang diseru Allah kepada baginda;
3.Nabi Muhammad tidak mempunyai kemaluan;
4.Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Nabi Muhammad) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi SAW yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah;
5.Membuat tafsiran yang menyeleweng pada ayat al-Quran dan hadis;
Justeru itu, setiap Jabatan Agama Islam Negeri perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengambil langkah berpatutan seperti mana negeri Johor yang telah memfatwakan sesat ajaran Si Hulk. Masyarakat Islam juga perlu sedar bahawa ideologi yang dibawa itu ternyata bertentangan dengan syariat Islam dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah apatah lagi tidak mempercayai kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruhNya. Bagi mana-mana individu yang sudah terlanjur mempercayai ajaran Si Hulk ini diharapkan dapat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Tetapkan iman, jauhilah perkara-perkara yang meragukan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JUL 2023, Berita Harian -30 MEI 2021 dan Kosmo – 14 JULAI 2023, MStar – 19 JUL 2023