Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan tindakan seorang pemilik restoran Cina yang memaparkan unsur komunisme di premisnya. Tindakan tersebut memperlihatkan bahawa ideologi komunis secara senyap cuba dihidupkan kembali dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya berbangsa Cina.
Perkembangan terbaharu ini termasuklah beberapa isu untuk menghidupkan semula ideologi komunis sebelum ini seperti isu kemasukan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaysa (PKM), Chin Peng secara diam-diam ke Malaysia, perhimpunan memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada Disember lalu, walaupun salah seorang bekas anggota PKM mendakwa bahawa perhimpunan itu bertujuan untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka, memperlihatkan bahawa negara kini diancam kegiatan terancang dan secara halus oleh kumpulan pro perjuangan subversif untuk menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini. Keadaan ini jika terus dibiarkan berlaku adalah suatu yang sangat bahaya.
Gerakan untuk menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini memang dirancang secara halus dengan menggunakan kaedah paling lembut termasuklah menggunakan platform sukan sehingga tidak disedari orang ramai. Kemudian sejak kebelakangan ini pula, mereka mula menggunakan media sosial dan media cetak untuk menyebarkan propaganda gerakan komunis secara halus.
Perlu disedari bahawa ideologi komunis adalah ideologi yang mahukan kesamarataan hak sekaligus menghapuskan keistimewaan bangsa asal di negara ini yang boleh menimbulkan rasa tidakpuashati, rasa marah, tidak tenteram dan akhirnya boleh mencetuskan suasana huru hara dalam negara.
Kekejaman komunis terutamanya melalui lipatan sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu satu ketika dahulu telah membuktikan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka terhadap orang awam adalah lebih kejam berbanding dengan kumpulan subversif lain di dunia ini.
Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu, parti atau pertubuhan yang dilihat cuba menghidupkan dan menyebarkan kembali ideologi komunis di negara ini. Pemantauan yang berterusan dan dibuat dengan lebih teliti adalah perlu memandangkan modus operandi mereka dalam menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini dibuat secara halus dan amat menggusarkan rakyat. Sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ia boleh menjadi suatu ancaman yang serius kepada keselamatan negara kerana ancaman ideologi komunis ini adalah lebih bahaya berbanding ancaman kumpulan radikal atau militan agama.
Sumber: Berita Harian. (30 November 2019) dan Sinar Harian (25 Disember 2019).