
Akhlak membawa makna kebebasan atau kemerdekaan dari segi minda dan jiwa yang disemai dari pembinaan jati diri menerusi empat aspek iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa. Nabi Muhammad SAW diutus untuk membimbing manusia untuk menerapkan budi pekerti dalam jiwa manusia. Ini telah diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR al-
Hakim)
Generasi muda kini mengalami dunia tanpa sempadan dengan segala-galanya boleh dicapai dengan mudah. Kewujudan teknologi internet dan telefon mudah alih memudahkan generasi muda berinteraksi dan mencari maklumat dengan pantas. Perubahan yang pantas akan meninggalkan kesan yang tidak stabil atau huru-hara disebabkan kegagalan masyarakat itu sendiri dalam mengarahkan diri mereka untuk berubah. Keadaan huru-hara ini boleh menyebabkan golongan muda lebih terhanyut dalam arus pembangunan atau dikenali sebagai ‘culture shock’.
Dalam keadaan ini, golongan muda terutamanya akan mengalami kecelaruan dalam membina sikap dan jati diri sendiri. Ini kerana golongan ini akan mudah terpengaruh sama ada untuk memilih jalan yang baik, berakhlak selari dengan ajaran agamai ataupun mahu memilih kebebasan dan keseronokkan yang bercanggah dengan ajaran agama sekaligus akan merosakan akhlak diri. Ini dapat dilihat apabila baru – baru ini satu festival muzik “KODEX” diadakan di Kuala Lumpur yang rata – rata dikunjungi oleh anak muda. Ini jelas memberi kerisauan terhadap masa depan anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya barat yang telah merebak ke dalam negara kita. Festival sebegini perlulah diambil perhatian oleh pihak berwajib kerana ia merupakan petunjuk ke arah keruntuhan moral dan akhlak remaja atau anak muda.
Antara kesan negatif daripada festival muzik yang diadakan adalah wujud ketakutan terhadap risiko penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol, dan pemakaian yang tidak sopan di tempat awam. Tambahan, terdapat kajian yang menyatakan pengunjung konsert festival berasaskan tarian adalah berisiko tinggi menggunakan dadah yang telah dicemari. Kadar dadah yang dijumpai di konsert-konsert adalah daripada kadar 11 peratus sehingga 55 peratus yang merupakan suatu kadar yang tinggi. Selain itu, kewujudan budaya hedonisme iaitu muzik berentak laju dan keras “hardstyle/rawstyle” dikhuatiri mempromosikan gaya hidup yang mengutamakan keseronokan melampau tanpa batas.
Oleh itu, sudah cukuplah kita menormalisasikan konsert-konsert yang bersifat duniawi dan melalaikan ini. Usah kita semua termakan dengan tipu daya duniawi yang kononnya boleh mengisi rasa kekosongan di jiwa- jiwa, tetapi hakikatnya semakin bergelora rasa kehausan rahmat Tuhan.
Rujukan: Research Gate (Ahklak dan Adab Generasi Muda Kini)

