Bila bicara soal jihad, tidak semestinya berkisarkan tentang perperangan. Masih terdapat beberapa cara lagi untuk kita berjihad di dalam hidup. Salah satunya adalah jihad melalui ilmu. Tahukah kita bahawa dengan menuntut ilmu dan menyumbangkannya kepada pembangunan dan keselamatan negara merupakan sebahagian daripada jihad?
Firman Allah SWT:
“Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (QS al-Mujadalah: 11)
Ilmu merupakan landasan untuk mencapai kejayaan. Tanpa ilmu pengetahuan, individu, masyarakat, bangsa dan negara akan mundur dan akan ketinggalan dalam semua bidang dan lapangan. Dalam konteks keperluan negara hari ini, kita amat memerlukan modal insan sebagai seseorang yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, namun ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak yang tinggi yang perlu hadir dalam setiap jiwa individu.
Oleh itu, fahami dulu konteks berjihad dan mulakannya melalui cara menuntut ilmu. Hal ini sangat jelas, nyata dan disertakan dengan beberapa bukti tentang betapa pentingnya ilmu dalam memajukan serta menguatkan benteng keselamatan negara daripada serangan-serangan musuh yang mahu menjajah negara ini. Islam sebagai panduan hidup, menyeru agar kita membina kehidupan di dunia ini dengan nilai ilmu, iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Bagi menyusun agenda ini, maka pendidikan Islam perlu diselaraskan agar lebih teratur dan bersistematik serta dapat terus memperkembangkan syiar Islam di landasan betul. Ingat, dengan jihad ilmu, negara akan maju!
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)