Home Ektremisme/radikalisme CUBAAN ‘GASLIGHTING’ UMAT ISLAM DENGAN TAFSIRAN AL-QURAN GUNA AKAL SENDIRI

CUBAAN ‘GASLIGHTING’ UMAT ISLAM DENGAN TAFSIRAN AL-QURAN GUNA AKAL SENDIRI

7
0

Kebelakangan ini, akaun TikTok @aimimukmin menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa kandungannya tular dan dikritik netizen kerana mengandungi unsur provokasi terhadap syariat Islam. Kesemua kandungan yang dibangkitkan dilihat cuba membawa atau ‘gaslighting’ pemikiran umat Islam dengan persoalan-persoalan berkaitan perintah Allah SWT mengikut tafsirannya sendiri.

Antara isu yang dibangkitkan ialah:
i. Mengapa perlu pakai tudung? Adakah rambut itu aurat?
ii. Mengapa perlu berguru dengan manusia? Sedangkan banyak cara Allah bagi untuk sampaikan ajaran Islam pada manusia
iii. Mengapa perlu beri salam ketika berjumpa?

Kesemua persoalan yang diberikan telah dijawabnya sendiri dengan memetik ayat al-Quran yang berkaitan dan ditafsirkan mengikut akal fikirannya sendiri. Malah, @aimimukmin turut mencabar para ulama untuk masuk ke ‘live’ tiktoknya kononnya untuk berdiskusi.

Dalam Irsyad Fatwa telah dirungkaikan bahawa perbuatan menafsirkan al-Quran melalui akal fikiran sendiri semata-mata dan datang dari golongan yang tiada asas dan kelayakan adalah haram hukumnya. Menafsir al-Quran menuntut kepada penguasaan individu terhadap kaedah-kaedah serta syarat-syarat tertentu yang telah disebutkan oleh para ulama, bukan sewenang-wenangnya ditafsirkan.

Marilah kita insafi diri dengan tutur kata Imam Ahmad yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu dari berkata-kata dalam suatu permasalahan yang kamu tiada imam padanya”. Ini bermakna, sekiranya kita ingin berhujah menggunakan nas al-Quran, adalah lebih utama dan selamat kita meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama muktabar dalam ilmu tafsir yang menguasai secara mendalam ilmu-ilmu yang berkaitan ulum al-Quran serta tafsirannya berbanding kita mengulas al-Quran dengan pendapat sendiri.

Sehubungan itu, masyarakat diingatkan agar lebih berhati-hati dengan kandungan agama di media sosial. Tidak semua pandangan individu boleh dijadikan sandaran dalam urusan akidah dan syariat. Sebarang kekeliruan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan pegangan umat Islam.