Home Kemanusiaan/Motivasi MENUNTUT ILMU AGAMA ADALAH WAJIB TIDAK ADA ISTILAH TERLEWAT DALAM MENUNTUT ILMU...

MENUNTUT ILMU AGAMA ADALAH WAJIB TIDAK ADA ISTILAH TERLEWAT DALAM MENUNTUT ILMU KERANA IA AKAN MENGHINDARKAN KEJAHILAN DAN DIPERMUDAHKAN JALAN KE SYURGA

933
0

Akhir-akhir ini, ramai di kalangan umat Islam yang sudah mula untuk kembali kepada fitrah agama. Tidak kiralah sama ada lelaki mahupun wanita, tua atau golongan muda, sama-sama mereka mula untuk mengorak langkah mengenali dan mempelajari ilmu agama Islam dengan lebih dekat. Namun, ada sebahagian mereka masih lagi gusar kerana berfikir adakah mereka sudah terlambat untuk mendalami agama Islam?

Peluang mempelajari agama Islam bukan untuk orang lain, ia diberikan khusus untuk generasi Islam dari mulanya Nabi Adam A.S turun ke bumi sehinggalah sekarang. Setiap umat Islam wajib memahami Islam dan kewajipan ini tidak akan terlaksana melainkan wujudnya peluang yang diberikan secara rasmi oleh pihak berkewajipan mengenai pendidikan negara. Ibu bapa hari ini tidak mampu mengajar anak-anak sendiri hatta mengenai asas fardu ain. Maka seeloknya usah dipertikai peluang yang sedia ada kerana ia boleh merosakkan perancangan untuk memartabatkan pendidikan Islam dalam negara tercinta ini.

Apabila kita memiliki dan mempelajari agama, maka kita akan menjadi seorang insan yang berguna dan juga menjadi Muslim yang baik. Ini seperti hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR Bukhari).

Selain itu, Allah SWT juga berfirman mengenai kedudukan orang yang mengetahui ilmu agama Islam menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang yang mengetahui (ilmu agama) dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (QS Az – Zumar: 9).

Islam tidak pernah menyekat ruang untuk umatnya mempelajari ilmu yang bermanfaat meskipun ia menjurus kepada urusan duniawi. Islam meletakkan kedudukan istimewa kepada orang yang berada pada jalan menuntut ilmu. Dalam hal ini, usaha menuntut ilmu agama Islam lebih-lebih lagi ditekankan oleh agama kerana ia menjadi asas kepada peningkatan kefahaman seseorang terhadap agama yang diimaninya. Malah, Rasulullah SAW juga bersabda mengenai kelebihan orang yang menuntut ilmu agama Islam yang mafhumnya:

“Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.” (HR Muslim).

Oleh itu, jangan berlengah lagi. Mulalah belajar mengenali agama Islam dari sekarang. Masih belum terlambat untuk kita mendalaminya bahkan ianya akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Usah dipertikaikan nikmat sedia ada yang memperuntukan masa yang lebih untuk mempelajari agama Islam. Ilmu untuk mengenal Allah SWT, ilmu tatacara pelaksanaan ibadah seperti solat dan puasa serta ilmu yang menjelaskan keperibadian mulia sebagai seorang Muslim seperti yang ditunjukkan dalam kehidupan Rasulullah SAW.

Sumber: Harian Metro (25 Januari 2022)