Home Kemanusiaan/Motivasi SALING TOLONG MENOLONGLAH DALAM KEBAIKAN DAN TAKWA BUKAN DALAM BERBUAT DOSA DAN...

SALING TOLONG MENOLONGLAH DALAM KEBAIKAN DAN TAKWA BUKAN DALAM BERBUAT DOSA DAN MAKSIAT

1039
0

Sudah menjadi lumrah dalam masyarakat apatah lagi sesama Muslim untuk saling tolong-menolong di antara satu dengan yang lain. Ini adalah satu sifat mahmudah yang sangat disukai oleh Allah SWT. Hal tersebut kerana kita sudah menjadikan diri kita sebagai golongan pemberi manfaat dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran kecuali redha dan pahala dari Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)

Akan tetapi, adakah kita perlu memberikan pertolongan terhadap pihak-pihak yang sedang atau mahu membuat dosa dan maksiat? Sebagai contoh, membantu seseorang mencuri sesuatu atau memukul seseorang? Sudah pasti perkara itu salah! Hal ini kerana ia secara terang-terangan sifat mazmumah yang sangat dibenci oleh Allah kerana dengan sengaja menimbulkan persengketaan.

Firman Allah SWT:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (QS Al-Ma’idah: 2)

Memang manusia tidak ada yang sempurna. Walau bagaimanapun, berusaha mencapai kesempurnaan perlu menjadi keutamaan pihak yang menawarkan pertolongan kepada orang lain. Sebagai Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, jangan sesekali kita bersekongkol dengan perbuatan jenayah dengan membantu pihak yang ingin melakukan dosa. Tolong-menolonglah sesama Muslim dalam kebaikan dan taqwa. Sesungguhnya Allah amat menyayangi hambaNya yang sentiasa tawadduk dalam semua perkara.

Sumber: Harian Metro “Allah tolong kita” (2 Disember 2019)