Home Kemanusiaan/Motivasi “TAK APA, BUKAN 3 KALI BERTURUT-TURUT”: PERSEPSI SALAH SOLAT JUMAAT YANG DICULASKAN

“TAK APA, BUKAN 3 KALI BERTURUT-TURUT”: PERSEPSI SALAH SOLAT JUMAAT YANG DICULASKAN

7
0

Masih ramai umat Islam khususnya kaum adam hari ini pegang satu persepsi yang salah: “Tak apa tinggal solat Jumaat, asalkan belum 3 kali berturut-turut.” Hakikatnya, ini bukan lesen untuk culas, tapi Nabi SAW telah memberi amaran keras terhadap perbuatan ini. Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali TANPA DARURAT, Allah SWT akan mengunci hatinya” [Riwayat Ibnu Majah]. Dalam Riwayat Abu Daud juga menyatakan: “Barangsiapa yang meninggalkan 3 kali solat Jumaat DENGAN SENGAJA, Allah SWT akan mengunci hatinya.”

Ada yang memahami hadis-hadis di atas secara salah, dengan menyatakan bahawa dibolehkan meninggalkan solat Jumaat asalkan tidak mencapai 3 kali berturut-turut. Teks hadis itu sendiri telah menjelaskan bahawa ancaman itu disertai dengan pengikat “TANPA DARURAT” dan “DENGAN SENGAJA”. Maksudnya, sekali pun ditinggalkan tanpa sebab syarie, tanpa keuzuran, ia tetap satu kesalahan. Bukan tunggu cukup 3 kali baru berdosa, itu salah faham yang makin menormalisasikan kelalaian.

Kerja, mesyuarat, berniaga, semua itu bukan alasan selagi ada ruang untuk kita menunaikannya. Lebih-lebih lagi dalam situasi yang jelas boleh diganti sementara oleh staf lain atau boleh ditangguhkan sementara. Alasan “sibuk kerja” sebenarnya tidak dikira sebagai darurat. Ini bukan soal sempat atau tidak, tapi soal keutamaan kita sebagai hamba Allah SWT.

Lebih membimbangkan, peringatan Nabi SAW bahawa terkunci hati bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali tanpa uzur, bukanlah sekadar ancaman ringan, ia isyarat bahaya kepada iman. Jangan tunggu sampai hati jadi keras baru nak sedar. Betulkan persepsi yang salah itu. Solat Jumaat adalah WAJIB setiap minggu bagi lelaki yang tiada keuzuran, bukan pilihan bergantung pada “kota 3 kali”. Renung-renungkan.