Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah rakaman CCTV yang berkongsi kisah kekesalan seorang pemilik rumah. Segala tindak-tanduknya seolah-olah tidak kena di mata jiran, sama ada ketika meletakkan kenderaan di depan rumah sendiri mahupun ketika menerima barang daripada kurier. Lebih mencemaskan, setiap kali terserempak, jiran tersebut didakwa memandang dengan pandangan yang aneh sambil menghembus sesuatu, seolah-olah mengamalkan ritual tertentu yang mengundang seribu satu prasangka.
Situasi seperti ini bukan sahaja meragut ketenteraman emosi, malah mewujudkan suasana toksik dalam komuniti. Sikap terlalu menjaga tepi kain orang, menaruh syak wasangka dan melakukan provokasi mistik atau fizikal adalah cerminan runtuhnya benteng adab yang sepatutnya menjadi tiang keharmonian hidup bermasyarakat.
Allah SWT telah berfirman secara jelas dalam Surah An-Nisa, ayat 36: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba sahaya yang kamu miliki…”
Ayat ini meletakkan perintah berbuat baik kepada jiran (sama ada yang dekat atau jauh) sejajar dengan perintah menyembah Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa. Ini membuktikan bahawa hubungan dengan jiran mempunyai impak yang sangat besar dalam neraca amalan seorang hamba.
Kesimpulannya, keharmonian bermula daripada diri kita. Hidup berjiran memerlukan tolak ansur yang tinggi. Kita tidak hidup sendirian di dunia ini. Hari ini mungkin kita tidak perlukan bantuan mereka, namun hari esok ketika musibah atau kecemasan melanda, jiranlah orang pertama yang akan menghulurkan tangan sebelum saudara-mara kita yang tinggal jauh tiba.
Hentikan sikap bermusuhan, buang sifat hasad dengki dan suburkan rasa hormat-menghormati. Ingatlah, ketenangan hidup berkeluarga tidak akan sempurna jika suasana di luar pintu rumah kita dipenuhi dengan sengketa. Jadilah jiran yang menenangkan, bukannya jiran yang mendatangkan ketakutan.








