Feminisme mempunyai pelbagai aliran, termasuk feminisme liberal yang menekankan hak, kebebasan individu dan kesaksamaan peluang untuk wanita. Namun, dari sudut Islam, kebebasan perlu berpandukan syariat. Mana-mana gagasan yang menjadikan pilihan peribadi sebagai alasan untuk mengetepikan perintah Allah perlu ditolak, walaupun dibawa atas nama kemajuan atau pembelaan wanita.
Sebagaimana video tular di threads baru-baru ini memperlihatakan seorang mahasiswa perempuan lantang bersuara ketika Sesi Rapat Umum Pilihanraya Kampus Sesi 2026/2027 berkenaan isu tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Membela wanita daripada penindasan, memperjuangkan pendidikan dan menuntut layanan adil merupakan usaha yang baik. Tetapi perjuangan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekeh perkahwinan, menghina peranan ibu atau menganggap semua tuntutan agama sebagai kongkongan. Umat Islam perlu menilai isi sesuatu perjuangan dengan ilmu, bukan menerima semua gagasannya hanya kerana slogan kebebasan.
Dalam Surah ar-Rum, ayat 21, Allah SWT menerangkan bahawa hubungan suami isteri mengandungi ketenteraman, kasih sayang dan belas kasihan. Nilai ini perlu dipelihara dengan keadilan serta tanggungjawab bersama. Justeru, berwaspadalah terhadap pemikiran liberal apabila kebebasan digunakan untuk membenarkan penolakan syariat. Hak wanita mesti dibela, namun panduan agama mesti dijaga dan penindasan atas nama agama juga mesti ditentang. Khususnya pada golongan GenZ, hati-hati dalam berkata-kata, yakin diri tidak salah tapi biar berpada, biar ada batas agamanya kerana itu lambang keimanan di dada.
#feminisme #feminist #GenZ #SuaraMahasiswa








