Fenomena perkongsian gambar dan video anak secara berlebihan di media sosial atau dikenali sebagai sharenting (gabungan perkataan ‘share’ dan ‘parenting’) semakin membimbangkan. Keterujaan ibu bapa untuk berkongsi keletah dan pencapaian anak kadangkala menyebabkan mereka terlupa tentang batas privasi. Tanpa sedar, maklumat peribadi seperti lokasi, sekolah dan rutin harian anak turut didedahkan kepada umum.
Islam tidak melarang umatnya berkongsi kegembiraan, namun setiap tindakan perlu berpandukan hikmah dan kesederhanaan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang berlebih-lebihan.”
Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa sesetengah ibu bapa berkongsi kerana bangga dengan kejayaan anak. Namun, ada juga yang terdorong untuk meraih perhatian dan pengiktirafan masyarakat. Jumlah tanda suka, komen dan pujian yang diterima boleh menimbulkan keinginan untuk terus memuat naik kandungan demi kepuasan diri.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu sentiasa memperbetulkan niat agar anak tidak dijadikan alat untuk meraih populariti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hakikatnya, setiap anak merupakan amanah Allah SWT yang wajib dipelihara maruah, keselamatan dan kesejahteraannya. Perkembangan mereka juga bukanlah satu perlumbaan untuk menentukan siapa paling bijak atau paling berjaya. Setiap anak mempunyai kelebihan, kemampuan dan perjalanan hidup yang berbeza. Firman Allah SWT dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”
Sehubungan itu, jadikan media sosial sebagai ruang berkongsi perkara bermanfaat, bukannya medan menunjuk kehebatan anak. Ingatlah, nilai seorang anak tidak diukur melalui jumlah tanda suka, tetapi melalui kasih sayang, didikan dan perhatian yang diberikan oleh ibu bapanya.








