Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan kepada seluruh umat manusia. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara tersebut baik atau tidak. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (QS al-Mujadalah: 11)
Nampak bukan? Betapa tingginya darjat orang yang mempunyai ilmu, khususnya ilmu agama yang diangkat oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, setiap daripada kita wajib mempunyai ilmu walaupun sekadar ilmu asas. Bayangkan apa yg akan terjadi sekiranya kita tidak mempunyai ilmu? Kita mungkin akan ditipu, sedangkan yang mempunyai ilmu sahaja mudah ditipu, apatah lagi yang tidak mempunyai ilmu. Seperkara lagi, jika kita tidak mempunyai ilmu, sudah pasti hati dan minda kita akan kosong. Apabila kosong, maka fahaman-fahaman songsang dan sesat seperti terorisme, liberalisme, pluralisme, sekularisme, ateisme dan ajaran sesat yang lain mudah meresap ke jiwa dan agak payah untuk dipulihkan.
Ilmu juga akan menjaga keselamatan diri manusia terutamanya dalam kehidupan zaman ini yang penuh cabaran termasuk masalah jenayah yang membahayakan sehingga membabitkan nyawa. Dengan ilmu, ia akan menjaga kita daripada melakukan perkara dimurkai Allah SWT. Ilmu syariah membuatkan kita lebih mengetahui mengenai kehidupan yang diredai Allah SWT. Kehidupan di dunia ini sementara saja kerana kehidupan akhirat yang kekal abadi. Maka, kuasailah ilmu sebanyak mungkin kerana ia merupakan salah satu jalan mudah ke syurga.
Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al Qur’an dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (untuk masuk syurga), maka nasabnya (keturunannya) tidak akan boleh meninggikannya untuk masuk syurga).” (HR Muslim: 4867).
Sumber: ‘Kelebihan menuntut ilmu’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.