Home Liberalisme AGENDA GOLONGAN LIBERALISME MEMBELA INDIVIDU MUSLIM YANG INGIN MURTAD MERUPAKAN...

AGENDA GOLONGAN LIBERALISME MEMBELA INDIVIDU MUSLIM YANG INGIN MURTAD MERUPAKAN ANCAMAN SERIUS KEPADA AKIDAH UMAT ISLAM DI NEGARA INI. BERWASPADALAH!!!

725
0

Akidah adalah perkara yang amat penting dalam Islam. Ia tidak boleh dipersenda atau dipermainkan sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan kerana semua itu adalah berdosa besar dan boleh membawa kepada berlakunya murtad..

Gejala murtad merupakan antara isu yang sangat sensitif dalam kalangan masyarakat Muslim khususnya di Malaysia. Pelaku murtad dianggap melakukan kesalahan besar terhadap agama dan umat Islam keseluruhannya kerana mencemarkan imej Islam yang syumul dan sejahtera.

Walaupun tiada statistik yang tepat tentang jumlah sebenar Muslim yang murtad di Malaysia, namun berdasarkan kes yang dilaporkan oleh media massa dan kajian, gejala ini amat membimbangkan dan perlu dibendung penularannya.

Hal yang lebih memburukkan lagi ialah penglibatan sesetengah kelompok bukan Muslim dari golongan liberalisme yang tampil membela dan memperjuangkan hak golongan yang murtad ini atas dasar kebebasan hak asasi. Agenda liberalisme didatangkan dalam berbagai bentuk. Antaranya melalui organisasi tertentu seperti Interfaith Commission (IFC) yang antara salah satu agendanya adalah memperjuangkan hak asasi melalui mahkamah supaya orang Islam diberi hak untuk murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Selain itu, perjuangan IFC ini dibantu oleh pertubuhan Islam Liberal antaranya Sister in Islam (SIS). Mereka juga ditaja oleh penaja luar seperti Konrad Adenauer Foundation (KAF) dan Malaysian Interfaith Network (MIN). Hal ini secara jelas memberikan isyarat bahawa kedudukan Islam dan masyarakat Muslim kini semakin tercabar.

Melalui saluran perundangan, golongan ini cuba memanfaatkan ruang dan peluang yang ada, sekalipun tindakan mereka itu dilihat sebagai mencampuri urusan hal ehwal agama Islam dan Masyarakat Muslim.

Kurang pengetahuan dan jahil tentang agama adalah antara punca penyebab berlakunya murtad. Masalah murtad bukanlah masalah ringan tetapi masalah besar dan berat yang mesti dielakkan. Oleh itu, dari kecil ibu bapa sangat memainkan peranan penting untuk melengkapkan anak-anak dengan ilmu fardhu ain yang merangkumi pengajaran tentang akidah, ibadat dan akhlak.

Jika tidak ditangani dengan baik, gejala murtad ini pasti akan membawa banyak kesan negatif terhadap perkembangan Islam dan keharmonian masyarakat Muslim di Malaysia.

Sumber: Ancaman Liberalisme di Malaysia, Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM Bil.29/2017.