Home Syiah BERHATI-HATI DENGAN KESESATAN SYIAH!!! AWASI ANAK-ANAK ANDA YANG DIHANTAR BELAJAR KE NEGARA...

BERHATI-HATI DENGAN KESESATAN SYIAH!!! AWASI ANAK-ANAK ANDA YANG DIHANTAR BELAJAR KE NEGARA YANG MAJORITI BERFAHAMAN SYIAH

902
0

Syiah adalah menyesatkan akidah umat Islam apabila ia menyanjung Saidina Ali lebih daripada Rasulullah SAW dan mengkafirkan tiga sahabat yang lain. Satu ketika dahulu, gerakan Syiah ini banyak disebarkan di negeri Kelantan apabila terdapat banyak sumber buku dan rujukan Syiah dijual secara terbuka dan berleluasa di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Namun, gerakan Syiah kini mula tersebar ke seluruh pelusuk tanah air dengan menjadikan beberapa pusat pengajian Syiah (Hauzah) terutamanya di Gombak, Selangor; di beberapa kawasan di Kedah dan Perlis, di Johor Bharu dan beberapa kawasan lagi di seluruh negara sebagai pusat pergerakan Syiah.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang menjadi daya tarik kepada seseorang untuk terpengaruh dengan ajaran Syiah. Bagi anak-anak muda malah sesetengah orang dewasa juga, mereka mudah terpengaruh dengan ajaran Syiah apabila mereka diajarkan tentang dalil Syiah yang membenarkan nikah mut’ah (nikah kontrak).

Bagi anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran di luar negara terutamanya negara yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah, ajaran Syiah ini amat mudah diresapi dan dipengaruhi. Melalui nikah mut’ah ini, apabila pelajar berkenaan berkahwin dengan penduduk tempatan, mereka tidak perlu menyewa kerana mereka akan mendapat tempat tinggal percuma selain nafkah batin. Sedangkan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, perkara itu adalah perbuatan zina kerana ia dilakukan tanpa wali dan saksi untuk tempoh masa tertentu dan tidak terikat dengan tanggungjawab seperti pernikahan biasa. Bahkan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, hukum nikah mut’ah seperti itu telah dimansuhkan sendiri oleh Rasulullah SAW sejak awal-awal Islam lagi. Sesiapa yang melakukannya adalah haram kerana terlibat dalam melakukan perzinaan.

Perkara ini perlu diambil perhatian dan dititikberatkan oleh ibu bapa apabila menghantar anak mereka ke IPT tempatan atau luar negara supaya mereka tidak terpengaruh dengan fahaman Syiah yang menyesatkan ini. Apatah lagi jika anak-anak tersebut memang tidak mempunyai pendidikan agama yang kuat atau jahil dalam agama. Mereka akan mudah dipengaruhi oleh ajaran Syiah kerana ajaran Syiah juga memberikan dalil daripada al-Quran dan Hadis, cuma al-Quran dan Hadis yang digunakan adalah versi Syiah yang sama sekali bercanggah dengan versi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika hal ini berlaku ia boleh merosakkan agama Islam sendiri, menyebabkan keruntuhan institusi keluarga, boleh menjatuhkan kerajaan dan akan berlaku perpecahan serta pembunuhan seperti yang berlaku di luar negara.

Oleh itu, bagi mengelakkan timbulnya ancaman yang lebih buruk kepada keselamatan negara, berkuatkuasa pada 24 Julai 2013, Kementerian Dalam Negeri telah mengistiharkan pengharaman terhadap pertubuhan Syiah berpandukan kepada seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966. Bukan itu sahaja, malah mengikut peruntukan Senarai Dua Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan, Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kedah turut memfatwakan bahawa fahaman Syiah secara jelasnya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyesatkan akidah.

Sumber: Sinar Harian- 29 Julai 2013