Menjadi umat manusia yang penuh dengan rasa cinta dan sayang dalam hati merupakan anugerah yang terindah kurniaan Allah SWT. Beruntunglah pada sesiapa yang mempunyai rasa itu, kerana dengan rasa itu dia mampu untuk menyebarkan kasih-sayang terhadap umat manusia lainnya. Alangkah indahnya dunia jikalau semua umat manusia memiliki sifat seperti ini.
Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak: “Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku.” (HR Muslim).
Lihat hadis di atas, ini adalah jaminan dan kepastian yang Allah SWT berikan kepada hambaNya yang saling mencintai kerana Allah. Indah bukan apabila kita mendapat naungan Allah pada hari kiamat disebabkan satu sifat yang mudah? Hanya dengan berkasih sayang atau saling mencintai kerana Allah kita telah mendapat salah satu rahmat daripaNya. Apa yang boleh kita dapat daripada hadis ini adalah sifat saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang-orang yang beriman itu merupakan satu tuntutan.
Malah Ibnu Hajar Rahimahullah pernah menyatakan bahawa dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, di mana ia berpisah dan berkumpul keranaNya, iaitu apabila keduanya saling mencintai kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Cinta kerana agama ini tidak putus kerana dunia, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang” (QS Maryam: 96)
Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hal tersebut kerana ia penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah.
Maka, tidak hairanlah Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka di dunia dalam mengatasi segala kesibukan duniawi yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.
Sumber: Pejabat Majlis Islam Sarawak (MIS)