Home Liberalisme MENYANGGAH FAHAMAN LIBERAL KERANA IA MEMISAHKAN AGAMA DENGAN KEHIDUPAN.

MENYANGGAH FAHAMAN LIBERAL KERANA IA MEMISAHKAN AGAMA DENGAN KEHIDUPAN.

1123
0

Liberalisme ialah satu idea yang memperjuangkan kebebasan individu dan kesemarataan dalam masyarakat. Wacana liberal mencakupi hampir seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah aspek keagamaan. Liberal adalah satu bentuk fahaman sekular, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama.

Fahaman liberal ini mewajibkan menghormati kebebasan individu serta berkeyakinan tugas utama pemerintah ialah menjaga, melindungi kebebasan rakyat seperti kebebasan berfikir, kebebasan menyampaikan pendapat, kebebasan hak peribadi dan juga kebebasan individu. Umumnya pemikiran liberal mempunyai tiga asas utama iaitu kebebasan, individualisme dan rasionalis.

Kebebasan yang dimaksudkan ialah setiap individu bebas melakukan apa sahaja, malah pihak pemerintah tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan atau sekatan melainkan hanya dibatasi oleh undang-undang yang dibuat individu itu sendiri dan tidak terikat dengan peraturan agama. Fahaman liberal juga mendewakan akal dalam mencari dan mencapai sesuatu kepentingan dan manfaat tanpa memerlukan kekuatan yang lain. Sifat individualisme dan cinta terhadap diri sendiri sangat tinggi sehingga menganggap agama sebagai penghalang untuk melakukan sesuatu perkara dan menyebabkan kemunduran kepada dirinya.

Berdasarkan kepada fahaman liberal tersebut, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekular yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah yang sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah dan rasulnya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah sebenar.

Begitulah usaha bersungguh-sungguh mereka untuk melemahkan Islam dengan memasukkan nilai liberal dan kemanusiaan dalam ajaran Islam dan juga akidah umat Islam. Implikasinya, akan muncul pelbagai gerakan yang mendakwa mereka membawa panji-panji Islam padahal prinsip-prinsip yang ditegakkan bersifat ekstrem dan bertentangan sama sekali dengan prinsip ajaran Islam.

Sumber: Jurnal Usuluddin. 2014. Universiti Malaya dan Berita Harian, 05 Ogos 2017.