Home Selatan Thai JANGAN TERPENGARUH DENGAN PROVOKASI JIHAD DI SELATAN THAI KERANA IA AKAN MEMBERI...

JANGAN TERPENGARUH DENGAN PROVOKASI JIHAD DI SELATAN THAI KERANA IA AKAN MEMBERI IMPLIKASI KEPADA KESELAMATAN MALAYSIA

667
0

Perbezaan fahaman, kebudayaan, bahasa dan etnik di antara masyarakat Melayu Selatan Thai dengan penduduk bahagian utara Thai telah menimbulkan reaksi kurang menyenangkan di pihak komuniti Selatan Thai.

Pencabulan hak asasi melalui peralihan kuasa dan penyerapan undang-undang syariah ke dalam undang-undang sivil yang sekular telah menyebabkan masyarakat Melayu di Selatan Thai memberontak dan menentang terhadap kepimpinan pemerintahan Thai yang didasari agama Buddha sebagai agama rasmi.

Kedudukan geografi Selatan Thai yang berhampiran dengan Malaysia sebenarnya mendatangkan kegusaran dari aspek keselamatan kepada negara kita kerana terdapat masyarakat serumpun yang dikhuatiri akan turut bersimpati dengan nasib sebangsa dan seagama di Selatan Thai akan bertindak untuk menyertai pergerakan jihad di sana. Terdapat pelbagai pertubuhan pembebasan yang telah ditubuhkan di Selatan Thai bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan Patani. Antaranya Barisan Revolusi Nasional Patani (BRN), Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP), Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), Gerakan Mujahidin Patani dan lain-lain lagi. Pelbagai strategi dilakukan oleh kumpulan pembebasan tersebut untuk mendapat sokongan orang Melayu termasuk juga umat Islam di Malaysia. Kini mereka cuba mengedarkan risalah dengan membuat provokasi mengenai tuntutan berjihad di Patani. Risalah tuntutan jihad di Patani ini diedarkan secara berleluasa termasuk melalui media sosial yang disasarkan juga kepada kepada generasi muda Melayu yang terdapat di negara ini tentang tanggungjawab mereka untuk membela terhadap agama, bangsa dan tanah air dari dijajah dan dizalimi oleh pihak penjajah (kerajaan Thailand/Siam).

Malaysia yang turut berperanan sebagai pihak pendamai bukan berhasrat untuk mencampur urusan Thai, namun Malaysia perlu mengambil tahu keadaan yang berlaku kerana bimbang sekiranya pergolakan itu tidak dikawal dan ditangani dengan bijak kemungkinan ia akan bertukar menjadi satu malapetaka yang besar yang turut menjejaskan keselamatan Malaysia.

Apabila keadaan telah tidak terkawal maka sudah pasti penduduk-penduduk Selatan Thai akan melarikan diri ke Semenanjung Malaysia untuk berlindung dengan membawa segala implikasinya. Oleh kerana rakyat Malaysia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan rakyat Thai, sudah pasti mereka bersimpati apabila saudara seagama ditekan, ditindas dan ditembak dengan kejam. Adalah dibimbangi jika penindasan berlanjutan, terdapat rakyat Malaysia yang akan menyeberangi sempadan untuk berjuang bersama dengan pejuang kemerdekaan di Selatan Thai bagi membebaskan Patani daripada apa yang dikatakan ‘penjajahan Siam’.

Sumber: Jurnal Hadhari 9 (1) (2017) 157-169, UKM