Home Kemanusiaan/Motivasi MUSIBAH ADALAH UJIAN KEIMANAN HADAPILAH DENGAN TENANG DAN SABAR AGAR ...

MUSIBAH ADALAH UJIAN KEIMANAN HADAPILAH DENGAN TENANG DAN SABAR AGAR ALLAH SWT MENINGKATKAN DARJAT KEIMANAN DAN MENDAPAT REDHANYA

1119
0

Siapa sangka, kehadiran musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia ini merupakan yang paling terburuk dalam tempoh 50 tahun. Dapat dilihat betapa sedihnya golongan mangsa banjir dan kecewa dengan kejadian yang menimpa. Rumah mereka hancur musnah dan harta benda rosak akibat daripada kesan banjir. Ramai yang merintih, menangis akibat bencana apatah lagi negara masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19 yang masih belum reda. Namun, apalah daya kita untuk melawan takdir Allah SWT? Sebagai umat Islam, kita tidak digalakkan untuk meratapi musibah ini sebaliknya menjadikan musibah ini sebagai kayu ukur terhadap iman kita saat diuji oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” (HR Muslim).

Ujian musibah menyakitkan atau kurniaan nikmat yang membahagiakan, kedua-duanya adalah interaksi Allah SWT terhadap Mukmin untuk melihat sejauh mana keimanan mereka. Kita sepatutnya melihat ujian musibah itu bukan perosak kepada keimanan seseorang tetapi menjadi tali yang mengukuhkan iman dan keyakinan terhadap kebesaran Allah SWT. Lihatlah ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan ini sebagai satu kebaikan untuk meninggikan iman kita dan supaya kita bermuhasah diri di atas kesalahan kita serta menjadikan kita semakin dekat dengan Allah SWT. Ujian atau musibah adalah sebagai syarat Allah SWT nak angkat darjat keimanan seseorang dan untuk mendapat redhaNya. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang dikehendakki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji dan dicuba dengan suatu musibah.” (HR Bukhari).

Pepatah Melayu juga ada menyebut sesuatu perkara pahit ketika terjadi tetapi manis apabila dikenang. Begitulah perumpamaan bagi sesuatu ujian menimpa seseorang hamba yang perlu mempunyai benteng kesabaran yang tinggi dalam menghadapi setiap ujian Allah SWT. Ini seperti Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 139 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih, padahal kamulah orang yang tinggi (darjatnya), jika kamu benar-benar orang beriman.”

Sedarilah, ujian, musibah dan nikmat kebahagiaan itu datangnya daripada Allah SWT. Allah SWT tidak akan menguji seseorang hamba lebih daripada kemampuan mereka sendiri. Justeru, bagi orang Mukmin yang beriman, sama ada musibah atau nikmat, kedua-duanya adalah medan untuk menambah amal ibadah kerana tujuan utama hidup ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Sumber: Berita Harian (27 Disember 2015)