Home Hizbut Tahrir PENYEBARAN VIDEO ‘MEMPERINGATI 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH’ OLEH HIZBUT TAHRIR...

PENYEBARAN VIDEO ‘MEMPERINGATI 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH’ OLEH HIZBUT TAHRIR BOLEH MENIUPKAN SENTIMEN MEMBENCI KERAJAAN DAN MEMPROMOSI IDEOLOGI JIHAD MILITAN DI NEGARA INI

523
0

Perjuangan menegakkan Khilafah merupakan ‘trade mark’ organisasi Hizbut Tahrir. Dari satu negara ke satu negara, aktivis Hizbut Tahrir mempunyai satu suara menyebarkan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah Daulah Islamiyyah yang dipimpin oleh seorang amirul mukminin yang digelar sebagai Khalifah.

Dari dahulu sehingga kini, aktivis Hizbut Tahrir Malaysia tidak lelah dan jemu mempromosikan khilafah sebagai agendanya kepada seluruh Umat Islam termasuk di Malaysia. Walaupun fahaman Hizbut Tahrir telah difatwakan sebagai satu fahaman atau doktrin yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan diharamkan, Hizbut Tahrir Malaysia masih aktif untuk mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini dengan perjuangan Khalifahnya. Malah melalui media sosial sama ada di laman sesawangnya mykhilafah.com, facebook, instragram dan sebagainya, mereka memburuk-burukan kerajaan dengan menanamkan rasa kebencian terhadap kerajaan yang dikatakan tidak menjalankan pemerintahan secara Islami dan mengambil sistem demokrasi yang kufur sebagai sistem pemerintahannya.

Baru-baru ini pada tanggal 24 Februari 2021, aktivis Hizbut Tahrir telah mengadakan ‘flash mob’ dan edaran ‘flyer’ sempena kempen “100 Tahun Kejatuhan Khilafah, Ayuh Tegakkannya Wahai KaumMuslimin” di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Malah mereka turut membuat video kompilasi yang melibatkan aktiviti semua ahlinya di seluruh negara yang menunjukkan sokongan terhadap kebangkitan semula Khilafah sebagai pembakar semangat kepada masyarakat di negara ini supaya turut menyokong perjuangan mereka.

Menerusi video-video yang ditularkan di media sosial tersebut, ia menunjukkan tingkahlaku aktivis penuh semangat untuk menghentikan zaman 100 tahun tanpa Khilafah dan menyeru seluruh umat Islam untuk menyokong agenda perjuangan mereka. Video perjuangan Khilafah Hizbut Tahrir ini dikhuatiri mampu menarik minat anak-anak muda yang kosong pemikirannya untuk menyokong perjuangan jihad militan dan menanamkan kebencian kepada kerajaan

Sungguhpun pada asasnya pertubuhan Hizbut Tahrir yang kita kenali menjalankan ‘dakwahnya’ secara lembut (kempen, ceramah, artikel), namun pada tahap ini adalah tidak mustahil Hizbut Tahrir akan mengambil jalan jihad militan sebagai jalan terakhir untuk menegakkan Khilafah Islamiyah setelah 100 tahun ‘menggantung’ senjata.

Oleh itu, semua lapisan masyarakat mahupun golongan elit yang membarisi kepimpinan rakyat perlulah berwaspada dengan taktik Hizbut Tahrir. Dikhuatiri semangat yang ditunjukkan bermula dari kompilasi video yang dipaparkan mampu mempengaruhi pemikiran dan seterusnya mempunyai semangat untuk bertingkahlaku ganas kononnya atas nama jihad.

Sumber: laman web HTM, mykhilafah.com