Home Kemanusiaan/Motivasi 10 MAKSIAT BATIN YANG HARUS DIJAUHI OLEH UMAT ISLAM

10 MAKSIAT BATIN YANG HARUS DIJAUHI OLEH UMAT ISLAM

287
0

Menjadi umat Islam yang hidup berlandaskan al – Quran dan As – Sunnah itu sentiasalah menjadi yang terbaik dan sedaya upaya untuk jauh dari dosa dan maksiat. Namun, sebagai manusia yang tidak pernah lari dalam melakukan kesilapan, adakalanya kita juga terjerumus ke dalam kancah dosa dan maksiat tanpa disangka – sangka. Maksiat merupakan perilaku manusia yang melanggar hukum serta bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Oleh itu, setiap Muslim wajib menjauhi segala yang dilarang oleh Allah SWT. Salah satunya maksiat batin yang kadang kala kita tidak sedari. Antara 10 maksiat batin yang wajib kita jauhi adalah:

1) Syahrut tha’am (banyak makan). Allah SWT membenci segala yang berlebihan.

2) Syahrul kalam (banyak bercakap). Banyak berbicara adalah salah satu perlakuan yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah kalian banyak bicara tanpa berzikir kepada Allah, kerana banyak bicara tanpa berzikir kepada Allah membuat hati menjadi keras, dan orang yang paling jauh dari Allah adalah orang yang berhati keras.” (HR At – Tirmidzi).

3) Ghadhab (marah). Marah termasuk maksiat batin yang kadang kala amat susah untuk dikawal. Sedangkan menghindari amarah itu akan diganjarkan balasan syurga oleh Allah SWT.

4) Hasad (dengki). Hasad atau dengki merupakan penyakit selain sombong. Ini kerana orang dengki rela melakukan apa saja agar orang yang dibenci menderita. Sedangkan kita sebagai Muslim diperintahkan untuk menjauhi sifat tersebut.

5) Al Bukhlu wa hubbul mall (kikir dan cinta harta). Allah SWT tidak akan membuat seseorang miskin hanya kerana memberi sebahagian hartanya kepada orang lain yang memerlukannya.

6) Hubbul jaah (cinta kemegahan). Jangan terlalu mencari populariti hanya untuk mendapatkan pujian dari orang lain.

7) Hubbud dunya (cinta dunia). Dunia bukan tujuan akhir, tujuan hidup semua manusia adalah akhirat. Firman Allah SWT:

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.” (QS al – Ghafir: 39).

8) Takbur. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (karena sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.” (QS Luqman: 18).

9) Ujub. Ujub juga termasuk sifat dari maksiat batin, di mana seseorang merasa bangga terhadap dirinya sendiri atau membanggakan dirinya sendiri.

10) Riyak. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (QS al – Baqarah: 264).

Justeru, mari kita sama – sama bermuhasabah diri. Adakah kita termasuk di dalam golongan yang terlibat di dalam maksiat batin ini. Ketahuilah, masih tidak terlambat lagi untuk kita memohon ampun kepada Allah SWT kerana DIA Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Sumber: Blog Peribadi Rasulullah