Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEDEKAHLAH AGAR MENDAPAT NAUNGAN ALLAH SWT DI AKHIRAT KELAK

BERSEDEKAHLAH AGAR MENDAPAT NAUNGAN ALLAH SWT DI AKHIRAT KELAK

2483
0

Bulan Ramadhan seringkali dikaitkan dengan amalan bersedekah. Tidak kiralah sama ada sedekah itu sedikit atau banyak, ternyata ramai yang memanfaatkan peluang ini untuk mencari pahala puasa yang berlipat ganda sepanjang bulan ini. Islam menganjurkan umatnya berusaha dan memperoleh harta secara halal bagi mencapai kesenangan di dunia dan akhirat. Orang beriman dan bersyukur di atas segala nikmat yang diperolehnya akan membelanjakan hartanya pada jalan Allah. Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahala-Nya.” (QS al-Muzammil: 20)

Orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Arasy Allah di akhirat kelak. Itu termasuk mereka yang bersedekah dengan tangan kanannya dan menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

Diantara kelebihan yang kita dapat daripada bersedekah adalah:

  • Mendapat pahala.
  • Rezeki akan bertambah.
  • Mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  • Dipanjangkan umur.
  • Memberi ketenangan kepada hati.
  • Melindungi diri daripada bahaya.
  • Mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat.

Apabila kita memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan, maka lebih banyak pahala yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Dasyatnya bersedekah di bulan mulia ini hinggakan menjadi amalan Rasulullah SAW dan Baginda menginfaqkan harta Baginda pada bulan Ramadhan dengan banyak untuk para umatnya agar boleh menyambut ketibaan Ramadhan dengan meriahnya. Sesungguhnya Baginda memberi teladan yang baik untuk umatnya lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadhan kerana bulan ini lebih dasyat jika dibandngkan dengan sedekah pada bulan lainnya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan.” (HR Tirmidzi)

Orang yang tidak pernah bersedekah semasa di dunia ini mereka akan menyesal di akhirat dan mereka akan meminta kepada Allah SWT untuk balik ke dunia semula untuk bersedekah. Firman Allah SWT:

“Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)-ku sedikit waktu lagi, niscaya aku dapat bersedekah.” (QS al – Munafiqun: 10)

Dalam hidup ini, sekecil mana pun sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan. Malah, ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada dalam kesempitan. Sebab itu, Islam sangat memuliakan orang yang sentiasa bersedekah atau menginfaqkan hartanya. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri mengangkat darjat orang yang bersedekah lebih mulia daripada orang yang menerima. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (HR Bukhari)

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan kita dengan bersedekah. Sesungguhnya, dengan bersedekah ia akan membawa seribu rahmat dalam kehidupan kita dan mendapat jaminan pahala berganda daripada Allah SWT.

Sumber: Harian Metro “Naungan di akhirat untuk orang bersedekah” (19 November 2019)