Home Ektremisme/radikalisme IDEOLOGI SALAFI JIHADI PENYEBAB ISLAM DIPANDANG AGAMA YANG GANAS

IDEOLOGI SALAFI JIHADI PENYEBAB ISLAM DIPANDANG AGAMA YANG GANAS

619
0

Ideologi Salafi Jihadi, iaitu merujuk kepada aliran yang kononnya mendakwa mereka cuba menghidupkan kembali amalan tiga generasi atau abad pertama dalam Islam dengan menganggap kurun terbaik Islam di mana kurun selepas itu mengalami kemerosotan dari aspek keaslian dan kesucian, sekali gus menganggap hanya mereka golongan terselamat dan menggunakan kaedah yang ganas serta menolak aturan negara dan antarabangsa.

Lima ciri yang menjadi identiti gerakan Salafi-Jihadi, iaitu yang konsepnya diambil daripada al-Quran dan hadis, tetapi dengan menggunakan pandangan dan tafsiran yang ekstrim dan keliru. Ciri-ciri tersebut ialah jihad; takfir atau mengkafirkan sesiapa yang tidak menyokong ideologi kumpulan mereka. Ciri-ciri ideologi ketiga ialah ‘al-wala’ wal bara’ iaitu konsep kesetiaan dan kepatuhan. Ciri ketiga ini juga memberi garis panduan siapa yang dianggap oleh mereka sebagai kawan yang perlu disokong serta diberi kesetiaan dan siapa pula yang dianggap musuh yang perlu ditentang. Ini mewujudkan dikotomi antaranya bertujuan mengeluarkan orang yang tidak sefahaman daripada lingkungan Islam, sekali gus menjadi justifikasi terhadap tindakan ganas, termasuk menghalalkan darah serta merampas atau merosakkan harta benda.

Ciri keempat ialah tauhid dengan menerima kerangka dibina oleh Muhammad Abdul Wahab yang membahagikannya kepada tiga, iaitu tauhid ar-rububiyah, tauhid al-uluhiyah dan tauhid al-asma wal sifat yang juga menjadi asas kepada tindakan golongan itu, melancarkan jihad yang bukan hanya kepada negara bukan Islam, bahkan sesama Muslim kerana dianggap tidak bertauhid kepada Allah yang halal untuk diperangi.

Kelima ialah hakimiyah yang berasaskan konsep untuk memastikan kedaulatan politik (termasuk kenegaraan) hanya berdasarkan undang-undang yang bertauhid kepada Tuhan iaitu hanya berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi. Undang-undang lain dianggap undang-undang dan peraturan ‘thoghut’ yang kufur yang perlu ditentang dan diganti. Hal ini memberi interpretasi yang lebih keras berbanding apa yang diterima oleh sebahagian gerakan atau parti yang ditubuhkan sebagai reaksi umat Islam terhadap modenisme Barat.

Lima ciri inilah yang menjadi ramuan terpenting kepada kumpulan pengganas dan ekstremis untuk mendoktrinkan pemikiran ahli mereka sehingga menjadikan mereka bukan sahaja tidak teragak-agak menumpahkan darah, bahkan bersemangat berbuat demikian kerana menganggap perjuangan mereka adalah perjuangan jihad yang suci yang ingin menukar nyawa mereka dengan ganjaran syurga di akhirat kelak.

Berdepan dengan indoktrinasi sebegini, apatah lagi dengan dunia media sosial yang memudahkan proses merekrut ahli, sudah tentu tidak cukup dengan mengetatkan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memerlukan pendidikan yang menyeluruh dan berdasarkan pandangan alam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Berita Harian- Mei 2018