Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pihak untuk mewujudkan keperluan bagi memastikan keadilan untuk semua melalui tindakan kolektif, harus diguna pakai sebagai asas untuk menangani isu kemanusiaan global khususnya di G4z4. Hilf Al-Fudul (perjanjian mulia) merupakan sebuah perjanjian yang dimeterai oleh penduduk Mekah termasuklah Rasulullah SAW untuk mewujudkan urus niaga yang adil. Disebabkan peranan Rasulullah SAW dalam pembentukannya, perjanjian tersebut memainkan peranan yang penting dalam etika Islam.
Menurut pada peranannya, pakatan yang ditubuhkan pada zaman Nabi Muhammad SAW itu adalah untuk membela pihak yang lemah dan tidak bersalah terhadap mereka yang lebih berkuasa, serta dilihat masih relevan terutamanya dalam mempertahankan rakyat G4z4 yang ditindas. Ini kerana pada ketika ini kita perlu menyalurkan tenaga kolektif kita ke arah memupuk dunia, di mana keadilan bukan sahaja ideal tetapi realiti untuk setiap manusia yang ditindas dan bersengketa.
Dalam hal ini, bagi merealisasikan adaptasi Hilf al-Fudul dalam dunia moden, pembentukan dana bantuan kemanusiaan sejagat, yang boleh diakses oleh semua rantau yang dilanda konflik, rangka kerja penyelesaian konflik global yang inklusif perlu dilakukan untuk memanfaatkan prinsip keadilan dan perantaraan dalam Islam, serta sistem pendidikan dan advokasi antarabangsa untuk memupuk budaya kerjasama dalam keamanan.
Kita juga mesti membentuk gabungan global, yang bukan sahaja memahami tetapi menjunjung prinsip Hilf al-Fudul secara menyeluruh dan secara tidak langsung melibatkan negara dari seluruh dunia bagi memastikan penyertaan dan sokongan menyeluruh. Ini penting dalam memberi gambaran kepada masyarakat dunia bahawa soal keamanan sejagat bukanlah hanya tentang G4z4 tetapi juga ia melibatkan keamanan seluruh masyarakat dunia dan peranan mereka dalam mewujudkan kenyataan itu.
Soal keamanan adalah soal peranan masyarakat sekeliling untuk membentuknya menjadi realiti. Ia bukan sahaja melibatkan negara yang bergolak malah keseluruhannya kerana ia saling bersangkut dengan keadaan sekitarnya. Maka dari itu, marilah kita wujudkan keadaan yang disarankan ini dalam memberikan keamanan di seluruh dunia. Ini sebagaimanan perintah Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.
Sumber: Jabatan Mufti Perlis