Ramai orang mengatakan bulan Ramadhan ini merupakan bulan yang terbaik untuk melatih diri dalam melawan nafsu, adakah benar? Jika benar, mengapa hingga ke saat ini masih sahaja berlaku pembaziran? Contoh yang paling mudah adalah berbelanja di bazar. Boleh dikatakan hampir 99% daripada umat Islam di negara ini berbelanja lebih daripada keperluan sebenar di bazar dan selebihnya dibazirkan. Bukankah membazir itu amalan syaitan? Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (QS al – Isra’: 27)
Di Malaysia pembaziran makanan sangat memalukan. Ia menjadi simbol ‘ikhwan syayatin’ (saudara syaitan) yang dimegahkan iaitu pembuangan makanan sehingga mencecah 15,000 metrik tan makanan sehari (dari jumlah itu, 3,000 metrik tan sehari masih boleh dimakan). Lebih berat lagi 635,000 metrik tan makanan dibuang dalam bulan Ramadhan sahaja. Adakah kita berbangga menjadi saudara syaitan? Lihatlah keadaan sekeliling betapa ramainya manusia yang rosak hanya kerana bertuhankan nafsu dan berapa ramai manusia yang rosak kerana berajakan nafsu. Ini baru nafsu terhadap keperluan, belum lagi nafsu terhadap perkara yang lainnya.
Pada bulan Ramadhan yang mulia ini Rasulullah SAW mengajar kita untuk melakukan jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Oleh itu ketika Rasulullah SAW kembali dari suatu peperangan, Rasulullah SAW bersabda:
“Kami telah pulang daripada jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar. Mereka bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan jihad yang lebih besar itu? Nabi SAW bersabda: Kesungguhan seseorang hamba melawan hawa nafsunya.” (HR al-Baihaqi).
Sedangkan hawa nafsu merupakan musuh yang paling utama. Hawa nafsulah yang menyebabkan kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat manusia kerana manusia sentiasa berusaha mengikut hawa nafsu dan cuba menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperolehi apa yang dikehendakki oleh nafsu. Rasulullah SAW bersabda:
“Musuhmu yang paling ganas ialah nafsu mu sendiri yang berada antara dua sisi mu.” (HR al.Baihaqi).
Ia sememangnya sangat sukar bagi kita kerana tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan kerana ianya telah dipengaruhi oleh syaitan.
Sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa serta memperbanyakkan amal ibadah. Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar, atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (HR Bukhari).
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Cawangan Sabah