Walaupun bulan Ramadhan telah berlalu pergi, tetapi ia bukanlah pengakhiran kepada kita untuk tidak menunaikan tanggungjawab sesama Muslim. Masih banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita tunaikan kepada saudara seagama kita, tidak kiralah dalam mahupun luar negara. Misalnya, urusan zakat fitrah. Masih ramai lagi yang tidak menunaikan zakat walhal kita semua tahu yang ia merupakan salah satu daripada Fardhu Ain dan wajib bagi kita untuk menunaikannya. Firman Allah SWT:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” (QS At – Taubah: 103)
Selain itu, keutamaan dan tanggungjawab buat para Muslim sesama Muslim yang lain adalah dari segi bantuan. Bantuan ini tidaklah tertakluk kepada wang ringgit sahaja. Tetapi, ia lebih kepada sumbangan tenaga dan masa untuk memenuhi keperluan para Muslim yang memerlukan. Kini kita dapat lihat semakin ramai umat Islam menyertai misi bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban saudara seagama mereka yang dihimpit kesusahan lebih-lebih lagi akibat pandemik COVID-19. Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya:
“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).
Sementara itu, amalan membantu orang dalam kesusahan adalah amalan yang mendapat kecintaan Allah SWT seperti sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR at-Tabrani).
Oleh itu, jangan sesekali kita lupa, memudahkan urusan umat Islam yang lain termasuk di dalam akhlak yang sangat dicintai Allah SWT. Walaupun bulan seribu rahmat, bulan bagi umat Islam mendapatkan gandaan pahala dengan bersedekah telah meninggalkan kita, tetapi tanggungjawab sesama Muslim itu masih lagi berjalan selagi mana mereka memerlukan bantuan kita. Jangan hanya hendak mengejar pahala yang berganda tetapi kewajipan kita lupakan. Tunaikanlah tanggungjawab kita sesama Muslim kerana sesungguhnya seluruh umat Islam itu bersaudara.
Sumber: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)