Mutakhir ini banyak agenda-agenda yang cuba memecahbelahkan umat Islam yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Itu memang tujuan mereka, mereka tidak akan pernah berhenti untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam sehingga umat Islam tunduk dan sujud kepada mereka. Perkara itu bukanlah perkara yang baharu, malah di zaman Rasulullah SAW sudah ada pengkhianat yang cuba memecahbelahkan perpaduan umat Islam melalui prasangka. Allah SWT berfirman:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (QS Al- Baqarah: 120)
Jadi, sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran al – Quran dan As – Sunnah kita wajib untuk menjauhi segala prasangka dan fitnah yang dilemparkan oleh puak-puak kafir kepada saudara seagama kita dan teguhkan ikatan persaudaraan sesama Muslim. Jangan percaya segala propaganda mereka yang ditunjukkan di dalam platform media sosial kerana apa yang dilaporkan tidak seperti apa yang berlaku. Sebagai contoh, kekacauan yang berlaku di Tebing Barat di mana puak-puak kafir mengatakan mereka terpaksa melakukan kekacauan atas alasan hendak melindungi diri walhal perkara itu dusta semata-mata. Sabda Rasulullah SAW:
“Hati-hatilah kalian dari prasangka, kerana prasangka adalah sedusta-dusta pembicaraan..” (HR Bukhari dan Muslim)
Jauhilah prasangka puak-puak kafir yang sentiasa ingin melihat umat Islam berpecah belah dan teguh bersama-sama saudara seIslam ketika susah mahupun senang. Sudah pasti ramai kini yang sedar tentang agenda mereka. Maka, selidikilah dahulu kenyataan yang dikeluarkan sebelum membuat kesimpulan seperti yang dinyatakan dalam surah al – Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya..”
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)