Golongan Islam Liberal terdiri dari pelbagai kumpulan dan individu yang mengaku diri mereka membawa misi Islam. Antara individu yang terlibat membawa pemikiran Islam liberal adalah seperti Nasr Abu Zaid (Mesir), Asghar Ali Engineer (India), Amina Wadud (Amerika Syarikat), Irshad Manji (Kanada), Ulil Absar Abdallah (Indonesia), Kassim Ahmad (Malaysia).
Manakala melalui persatuan dan organisasi yang rasmi pula antaranya adalah seumpama Jaringan Islam Liberal (JIL) dan gagasan Islam Nusantara di Indonesia, Sisters in Islam (SIS) di Malaysia, Muslims for Progressive Values (MPV) di Amerika Syarikat dan seumpamanya.
Seorang yang memperjuangkan Islam liberal di negara ini iaitu Kassim Ahmad dalam bukunya yang bertajuk ‘Salah Faham Terhadap Sunnah: Isu dan Penyelesaian’ telah menggariskan enam persamaan pola pemikiran yang membentuk ideologi liberalisme dalam agama, antaranya:
- Berpegang kepada konsep pluralisme (semua agama adalah benar), sekularisme, liberalisme dan kebebasan beragama.
- Menolak sebarang autoriti agama termasuk hadis, ijmak ulama dan sebagainya.
- Mengagungkan akal manusia sebagai sumber dan autoriti utama pentafsiran agama.
- Mempercayai bahawa kebenaran adalah relatif (nisbi) dan bukannya mutlak bergantung pada individu, masa dan tempat.
- Memerangi beberapa konsep agama berkaitan wanita, harta pusaka, amalan seks dan sebagainya atas nama kesamarataan jantina dan hak asasi manusia.
- Berusaha mentafsirkan semula agama dan menyesuaikannya mengikut ideologi dan gaya hidup masyarakat Barat.
Sumber: Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam, (ICONAIT 2016), Kuala Lumpur.