Kita sedar bahawa diri kita tidak cukup baik dan kita tidak layak untuk memasuki syurga Allah SWT hanya kerana amalan kita. Akan tetapi, kita tidak pula sanggup untuk ‘menempah’ tempat di neraka Allah SWT. Lalu, apa yang perlu kita lakukan? Kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat dan redha Allah SWT. Oleh itu, dalam hidup ini kita hendaklah sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri menjadi seorang mukmin yang sejati demi mendapat redha dan rahmat Allah SWT. Bagaimana? Mula tekadkan diri kita untuk melakukan enam perkara seperti berikut:
- Berusaha untuk khusyuk dalam solat.
- Menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
- Menunaikan zakat.
- Menjaga kehormatan diri.
- Memelihara amanah dan janji
- Memelihara solat.
Bahkan, dalam surah al – Mukminun ayat 1 hingga 11 juga Allah SWT telah menyatakan sifat orang beriman berserta balasan yang diperoleh, iaitu kejayaan dan kemenangan yang dicapai di akhirat nanti melalui nikmat syurga. Bagi seorang mukmin, hidup ialah suatu perjalanan untuk beribadat kepada Allah SWT dengan mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya. Mereka akan menempuh kehidupan mengikut cara dan acuan yang ditetapkan oleh Islam. Jadi orang mukmin akan sentiasa berusaha untuk memenuhi kehidupannya dengan melakukan ibadat dan kebaikan agar dapat memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu yang sempurna imannya ialah mereka yang apabila disebut nama Allah dan sifat-sifat-Nya gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benar. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi disisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia di syurga.” (QS al – Anfaal: 2-4).
Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri kita untuk menjadi seorang mukmin yang sejati dengan mematuhi segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Hidup ini sangat singkat untuk disia-siakan dengan perkara-perkara yang ‘lagha’ (melalaikan dan tidak memberi manfaat). Kita tidak tahu bila ajal akan tiba, jadi sentiasa persiapkan diri dengan amalan-amalan yang soleh sebanyak mungkin agar diri kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah SWT.
Dari Abi Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW:
“Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah” (HR Muslim).
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam








