Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI SIKAP ‘KERAS KEPALA’ DAN SUKA MEMBANTAH KERANA IA ADALAH AKHLAK YANG...

HINDARI SIKAP ‘KERAS KEPALA’ DAN SUKA MEMBANTAH KERANA IA ADALAH AKHLAK YANG PALING DIBENCI ALLAH SWT

1426
0

Memang tidak dinafikan bahawa setiap daripada manusia termasuklah diri kita ini mempunyai satu sikap yang sukar dikikis iaitu sikap keras kepala. Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak atau takbur. Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong, dengan merasakan diri lebih baik berbanding orang lain. Kesemua sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT. Dari Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh).” (HR Bukhari: 6651)

Lihatlah apa yang terjadi baru-baru ini, apabila Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh untuk mengekang penularan wabak Covid-19 masih ada segelintir di kalangan kita yang berdegil, melanggar perintah yang dikeluarkan oleh Kerajaan. Akhirnya sikap ini mengundang padah apabila wujudnya pelbagai kluster jangkitan dan jumlah kematian yang mendadak tinggi. Siapa yang harus dipersalahkan? Akibat sikap keras kepala kita yang sentiasa merasakan diri kita betul hingga sanggup mengingkar arahan pemerintah, orang lain yang mendapat musibahnya. Adakah ini sikap yang diajar dalam Islam? Yang paling penting adakah kita layak digelar Muslim oleh kerana kedegilan kita?

Apa yang pasti, Allah SWT sangat murka dengan perbuatan orang yang keras kepala. Bermula dari keras kepala lah, akan bercambahnya sifat kesombongan hingga membuatkan diri kita kufur nikmat. Percayalah, orang yang keras kepala dan sombong tidak akan mendapat tempat di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.” (HR Muslim: 133)

Ingatlah, sikap keras kepala tidak akan membawa kita kemana-mana pun. Malah kita akan dibenci dan disisihkan oleh masyarakat. Lebih malang lagi, kita mendapat kemurkaan Allah SWT dan balasan yang setimpal dengannya di akhirat nanti. Marilah kita sama-sama menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah. Bukalah minda kita untuk menerima teguran dan nasihat. Allah memberikan kepada kita akal untuk berfikir. Jika ada pandangan dan fakta yang lebih baik maka terimalah dengan berlapang dada. Jangan sekali-kali berkeras dan sombong dengan apa yang kita milik.

Sumber: Laman Web SalamWeb Today