Home Kemanusiaan/Motivasi MENCARI YANG HALAL ITU ADALAH WAJIB -JANGAN CEMARI DARAH DAGING DENGAN SESUATU...

MENCARI YANG HALAL ITU ADALAH WAJIB -JANGAN CEMARI DARAH DAGING DENGAN SESUATU YANG HARAM DAN SYUBHAH

524
0

Tular sejak beberapa hari yang lalu bahkan sehingga ke hari ini berkenaan sebuah kedai makan yang menjual nasi ayam periuk tanah atau ‘claypot chicken rice’ versi halal di Seri Pertaling yang didakwa menggunakan bahan ‘rice wine’ atau arak beras di dalam masakan tersebut. Video yang sedang berlegar – legar di media sosial itu telah mengundang perhatian rakyat Malaysia kerana kedai itu sudah menjalankan perniagaan sejak berpuluh tahun lamanya. Apa yang lebih mengejutkan, kedai tersebut tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nauzubillahiminzalik! Ini merupakan satu bentuk penganiayaan kepada umat Islam secara halus kerana semua daripada kita khususnya umat Islam tahu bahawa agama Islam amat menitiberatkan pengambilan makanan yang datang dari sumber yang bersih dan halal. Firman Allah SWT:

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya ia ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (QS al – Baqarah: 168).

Sebagai umat Islam yang sangat menjaga agamanya, amatlah penting untuk setiap daripada kita mencari sesuatu yang halal kerana mencari yang halal itu adalah kewajipan kepada umat Islam. Dalam isu yang tular ini, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 3/2006 pd 26-27 Jun 2006 telah memutuskan bahawa haram menggunakan cuka wain (wine vinegar) dalam proses dan penyediaan makanan. Jadi, sudah terang dan nyata bahawa kedai tersebut telah melakukan kesalahan di dalam proses penyediaan makanan kepada umat Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ingat, makanan yang halal dan bersih memberikan banyak kebaikan kepada tubuh manusia. Utamakan makanan yang segar, berkualiti lagi berkhasiat dan elakkan makanan yang berkemungkinan mendatangkan risiko atau memberi mudarat. Jangan cemari darah daging kita kepada sesuatu sumber yang haram dan syubhah. Jangan kerana ‘viral’, maka segala suruhan agama ditolak ketepi demi kekenyangan dan kepuasan perut sendiri.

Sumber: Majlis Agama Islam & Adat Melayu Perak