Home Ajaran Sesat ‘PERJALANAN MIMPI YANG TERAKHIR’ – KEPERCAYAAN KARUT BERDASARKAN MIMPI KAK SITTAH UNTUK...

‘PERJALANAN MIMPI YANG TERAKHIR’ – KEPERCAYAAN KARUT BERDASARKAN MIMPI KAK SITTAH UNTUK MENJADI TENTERA IMAM MAHDI. KENAPA MASIH ADA YANG TERPENGARUH DENGAN KEYAKINAN SESAT INI?

2952
0

Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun, tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi. Mimpi insan yang bertakwa seperti mimpi para nabi dan Rasul, mimpi orang yang soleh merupakan mimpi yang baik dan perkhabaran yang akan berlaku. Manakala mimpi manusia biasa merupakan mimpi yang disebarkan oleh iblis dan syaitan serta hanya dianggap sebagai mainan tidur.

Baru-baru ini tular kisah seorang wanita yang bernama Masitah Abdul Jalal atau dikenali sebagai Sittah An-Nur yang mendakwa dirinya telah bermimpi ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) iaitu mimpi yang menggambarkan perjalanan akhir zaman yang akan dilalui oleh manusia kelak. Sittah mendakwa Allah telah memperlihatkannya peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku di akhir zaman dan suasana yang akan dilalui oleh manusia di alam akhirat. Oleh itu, Sittah berpendapat bahawa Allah telah menyuruhnya memainkan peranan untuk menyampaikan kepada seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w dengan ‘memberi soalan bocor’ bagaimana untuk menghadapi sesuatu kejadian kelak.

Sebagai contoh, Sittah mendakwa dia bermimpi dia telah berlegar-legar di padang mahsyar dan telah mengetahui keadaan huru-hara disana, maka Sittah menyeru supaya umat Islam mengamalkan doa yang dikongsinya untuk mengelakkan manusia jatuh ke dalam api neraka semasa melalui titian sirat.

Sittah turut mengajak masyarakat untuk bersiap sedia mencari saudaranya iaitu Imam Mahdi dan seterusnya menjadi tentera Imam Mahdi yang dikatakan bakal muncul di Sabah bagi sama-sama mengangkat senjata pada perang dunia ketiga kelak. Tingkahlakunya yang mengajak masyarakat melalui medium media sosialnya (facebook dan telegram) untuk bersiap sedia mengumpul kekuatan dan mengangkat senjata secara tidak langsung mampu memberi semangat kepada masyarakat untuk bertindak ganas dan akhirnya memberi ancaman keselamatan kepada negara.

Mimpi bukanlah dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syarak sama ada halal, wajib atau haram. Mimpi juga tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri atau orang lain. Hal ini kerana orang biasa tidak mampu untuk melepaskan diri daripada hasutan syaitan, justeru itu tidak boleh dipastikan kesahihan takwilan mimpi yang dialaminya tersebut walaupun dia bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. Hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja merupakan mimpi benar yang dijadikan sebagai sumber hukum serta merupakan hujah syarak kerana mereka dilindungi Allah s.w.t dan terlepas daripada mainan syaitan.

Justeru itu, mengapa masih ada yang terpengaruh dengan mimpi-mimpi seorang perempuan yang digelar Sittah An-Nur ini yang sudah ternyata sesat lagi menyesatkan.

Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri ke-334, 2019