Home Ajaran Sesat RATU BALQIS TURUN TAKHTA! DIPENJARA KERANA SEBAR KESESATAN

RATU BALQIS TURUN TAKHTA! DIPENJARA KERANA SEBAR KESESATAN

9
0

Masih ingatkah dengan “Ratu Nur Puteri Ratu Balqis”? Wanita inilah yang tular pada Mac lalu bersama dua pengikutnya kerana menyebarkan dakwaan dan fahaman menyeleweng, antaranya:

i. Mengaku dirinya Nabi Muhammad SAW;

ii. Mendakwa tubuhnya dipinjam oleh malaikat untuk menyampaikan mesej tertentu;

iii. Menggelar dirinya sebagai “Ruhul Qudus” dan “Ruhul Amin”;

iv. Mengangkat dirinya sebagai ratu spiritual yang mempunyai kedudukan khas dalam agama;

v. Membawa tafsiran agama berdasarkan dakwaan peribadi tanpa sandaran al-Quran, hadis sahih dan pandangan ulama muktabar;

vi. Mendakwa menerima petunjuk ghaib atau wahyu tertentu.

Rentetan itu, pihak berkuasa agama Johor telah mengambil tindakan dan kini “Ratu Balqis” bersama dua individu yang bersubahat dengannya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru. Wanita itu mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan doktrin palsu dan dakwaan palsu.

Allah SWT menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW ialah “Rasul Allah dan penutup segala nabi” (Surah al-Ahzab, 33:40). Maka, dakwaan menjadi nabi atau menerima wahyu kenabian selepas Baginda jelas bercanggah dengan akidah Islam.

Isu ajaran sesat ini menjadi peringatan supaya masyarakat tidak mudah terpesona dengan gelaran keagamaan, cerita ghaib atau dakwaan seseorang mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah. Populariti dan kepetahan bercakap bukan ukuran kebenaran sesuatu ajaran. Rujuklah pihak berkuasa agama serta guru bertauliah, berpegang kepada al-Quran dan sunnah menurut kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah serta laporkan penyebaran ajaran yang meragukan. Jangan sampai kerana taksub kepada individu atau terikut-ikut perkara tular, akidah sendiri menjadi taruhan.