Home Hizbut Tahrir IDEOLOGI RADIKAL HIZBUT TAHRIR YANG MENOLAK SISTEM DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA BOLEH MENGGUGAT...

IDEOLOGI RADIKAL HIZBUT TAHRIR YANG MENOLAK SISTEM DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA BOLEH MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK DAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

842
0

Kumpulan Hizbut Tahrir memang tidak pernah dikenali di Malaysia sebelum ini. Namanya tidak pernah disebut malah jauh sekali untuk mengaitkan dengan gerakan militan di Malaysia atau gerakan teroris antarabangsa. Namun akhir-akhir ini, gerakan kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia dilihat semakin menyerlah dan berani menonjolkan ideologi radikalismenya.

Hizbut Tahrir dikatakan sebuah gerakan Islam yang menentang sistem pilihanraya dan menganggap sistem pilihanraya adalah sistem ’batil’ (haram). Pergerakan Hizbut Tahrir yang semakin berkembang bukan sahaja dalam kalangan pelajar-pelajar institiut pengajian tinggi, malah termasuk golongan pensyarah dan golongan profesional.

Kumpulan Hizbut Tahrir cuba mempengaruhi untuk mendapatkan sokongan bagi memperjuangkan agenda mereka bagi menegakkan sebuah negara Islam yang menolak sistem pilihanraya dan demokrasi walaupun perbincangan tentang keharusan menggunakan sistem Barat tersebut sudah dibincangkan panjang lebar oleh ulama-ulama tersohor di seluruh dunia.

Sementara itu, pergerakan Hizbut Tahrir telah diharamkan oleh kebanyakan negara seperti di Eropah, di Amerika Syarikat, di Rusia dan di beberapa negara yang lain atas alasan pergerakan tersebut menyebarkan fahaman keganasan, anti Barat dan menaikkan semangat orang-orang Islam untuk menyokong gerakan jihad menentang kuasa-kuasa Barat.

Walau bagaimanapun, mengikut pelbagai laporan yang dikeluarkan oleh pihak Barat, telah merumuskan bahawa pergerakan Hizbut Tahrir semakin berkembang di Eropah, Amerika Syarikat, negara-negara Asia Pasifik seperti Australia, negara-negara Asia Selatan seperti di Afghanistan dan Pakistan, Asia Tengah seperti Uzbekistan dan termasuk negara-negara yang mempunyai penduduk Islam di Rusia. Pihak Barat memandang perkembangan gerakan Hizbut Tahrir adalah sesuatu yang membahayakan negara mereka dan kebanyakan negara di Barat mengharamkannya.

Di Asia Tenggara, pergerakan Hizbut Tahrir semakin berkembang di Indonesia terutamanya selepas berakhirnya era pemerintahan Presiden Suharto tahun 1998. Beberapa tahun kebelakangan ini, gerakan Hizbut Tahrir mula melebarkan pengaruhnya di Malaysia. Sejauhmana kesan pergerakan tersebut kepada keselamatan negara masih belum begitu jelas. Apakah gerakan tersebut mempunyai pertaliannya dengan gerakan-gerakan militan lain terutamanya JI juga masih belum jelas.

Namun, daripada ideologi yang diwar-warkan oleh kumpulan tersebut memang jelas ia adalah ideologi radikal yang boleh memberi kesan yang serius kepada kestabilan politik negara malah akan mengancam keselamatan negara jika dibiarkan terus berkembang di negara ini. Oleh itu, tindakan beberapa kerajaan negeri yang telah mengharamkan pertubuhan Hizbut Tahrir ini adalah satu perkara yang tepat dan perlu dipuji.

Walaupun masih belum menunjukkan tanda-tanda ancaman yang serius ke atas keselamatan negara setakat ini, namun pengaruh dan perilaku anggota Hizbut Tahrir di luar negara perlu diambil iktibar dan negara kita perlu mengambil langkah-langkah awal pencegahan termasuklah terus melakukan pemantauan terhadap gerakan ini bagi mengelakkan sebarang ancaman keselamatan berlaku di negara ini.

Sumber: Berita Tentera Darat Malaysia – MAC 2016