Home Liberalisme GERAKAN ISLAM LIBERAL MENGIKTIRAF LGBT!!! SATU ANCAMAN TERHADAP AKIDAH UMAT ISLAM YANG...

GERAKAN ISLAM LIBERAL MENGIKTIRAF LGBT!!! SATU ANCAMAN TERHADAP AKIDAH UMAT ISLAM YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

1431
0

Gerakan mengiktiraf Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) oleh golongan liberal merupakan satu ancaman kepada masyarakat Islam di Malaysia. Aliran pemikiran Islam liberal merupakan satu aliran pemikiran yang menghendaki kepada keterbukaan dalam berijtihad yang melampaui batas-batas agama yang telah sedia ada seperti mana di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Gerakan Islam liberal seperti ini bukan sahaja mempromosikan fahaman songsang yang dibawa, malah menyokong tindakan dan kelakuan LGBT supaya diiktiraf selari dengan ajaran Islam. Hal ini boleh dilihat dalam kenyataan Penyelaras Lawyer for Liberty (LFL), Zaid Malek yang menegaskan bahawa pengiktirafan dan perlindungan untuk golongan LGBT yang beragama Islam bukan sahaja tidak bertentangan dengan ajaran Islam malah melindungi mereka adalah mandatori di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya, sejak bilakah agama Islam mengiktiraf LGBT? Sedangkan Allah S.W.T telah melaknat Kaum Nabi Luth di Kota Sadum yang melakukan perbuatan keji (homoseksual) dan kemungkaran mendatangi sesama lelaki seperti seseorang mendatangani isteri (liwat atau homoseksual) dan meninggalkan para wanita.

Sepatutnya sebagai umat Islam, ambillah pengajaran daripada kisah ini melalui firman Allah dalam Surah Hud ayat 82-83, dimana disebabkan perbuatan keji Kaum Nabi Luth, Kota Sadum itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan dihujani dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Oleh sebab itu, walaupun LFL mendesak kerajaan untuk mengikut jejak langkah negara Islam yang lain seperti Mesir, Iran dan Pakistan yang mengiktiraf golongan LGBT, namun kerajaan Malaysia tetap tegas menolak gerakan fahaman liberal yang berusaha menghapuskan hukuman sivil dan syariah membabitkan kegiatan golongan LGBT.

Justeru itu, kita sama-sama bertanggungjawab untuk memainkan peranan membimbing golongan LGBT ini menjalani kehidupan lebih sejahtera, selari dengan tuntutan agama, adat dan budaya setempat masyarakat. Apa yang perlu kita ketahui adalah pemikiran liberal dalam isu LGBT boleh merosakkan akidah umat Islam iaitu mengagungkan akal berbanding wahyu. Maka fahaman ini terbukti menyeleweng daripada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu dibendung segera daripada terus mempengaruhi dan menyesatkan masyarakat Islam yang semakin jauh dari pegangan agama.

Sumber: Kertas Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa, 2019; Bayan Linnas Siri ke-171; dan Berita Harian, 29 November 2018.