Di dunia memperlihatkan sebahagian besar manusia adalah berpegang kepada agama samawi yang berkeyakinan bahawa Tuhan, dengan nama yang Maha Mulia, dari zat yang Maha Suci dan zat yang Maha Kuasa, sehingga keranaNya lah manusia beramal, berusaha dan melakukan sesuatu kebaikan. Dari padaNya lah manusia hidup dan kepadaNyalah manusia kembali.
Namun, dalam sejarah manusia terdapat suatu keyakinan yang tidak mengakui kewujudan Tuhan. Pemahaman tersebut dikenali dengan istilah ateisme. Menurut Arqom Kuswanjono, seorang profesor tentang falsafah ketuhanan di Indonesia menjelaskan bahawa terdapat beberapa alasan masyarakat yang berfahaman ateis menolak kewujudan Tuhan:
- Naturalisme. Pemahaman yang menganggap bahawa dunia ini keseluruhannya adalah realiti. Kewujudan alam berlaku dengan sendiri tanpa bantuan mana-mana kuasa. Naturalisme bertentangan dengan supernaturalisme;
- Kejahatan dan Penderitaan. Jika Tuhan betul-betul Maha Pengasih dan Maha Kuasa sudah tentunya akan menghapuskan kejahatan. Kenyataannya kejahatan ini tetap ada, oleh itu Tuhan tidak bersifat Maha Pengasih dan Maha Kuasa;
- Otonomi Manusia: Jika Tuhan ada maka manusia tidak bebas sedangkan sifat manusia itu ingin bebas. Oleh itu, Tuhan itu sebenarnya tidak ada;
- Kepercayaan kepada Tuhan itu hanyalah merupakan hasil daripada fikiran, harapan (wishful thinking) yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Menurut David Hume, ahli falsafah dan sarjana Barat kurun ke 17 yang berfahaman ateis, banyak sekali keyakinan agama yang merupakan hasil khayalan. Menurutnya agama bukan disebabkan kerana penyelewengan dari wahyu yang asli iaitu daripada monoteisme ke politeisme dan juga bukan sebaliknya. Akan tetapi, agama berasal dari penghargaan dan ketakutan manusia terhadap tujuan hidupnya. Itulah yang menyebabkan manusia mengagungkan Allah dan mengangkat pelbagai dewa untuk disembah.
Semua hujah di atas adalah hujah berdasarkan logik akal semata-mata, malah boleh disangkal dengan mudah bagi seseorang yang mempunyai akal yang sihat dan rasional. Bagi kita sebagai umat Islam, kewujudan Tuhan jika secara logik akal sahaja pun, kita boleh berfikir bahawa kejadian diri kita, alam semesta ini yang tersusun indah dengan sistem perjalanan alam yang penuh tersusun dan penuh rahsia yang tidak boleh dibongkar secara logik akal, maka sudah menunjukkan akan kebenaran tentang kewujudan Maha Penciptanya iaitu Allah SWT.
Sebagai umat Islam juga kita boleh berfikir dengan akal yang rasional bahawa dengan adanya agama, maka hidup manusia lebih terarah dan lebih berpandu kerana adanya panduan khusus dari Maha Pencipta yang dapat mengatur kehidupan menjadi sempurna. Kita dapat mengetahui mana yang salah mana yang benar, mana yang perlu dielak mana perlu dilebihkan dan sebagainya.
Adalah satu interpretasi yang salah jika menganggap agama itu mengongkong kehidupan manusia kerana jika kita memahami agama sudah pasti kita rasa sangat bersyukur kerana dikurniakan pelbagai nikmat walaupun kadangkala tidak melakukan perintahNya, namun tetap mendapat nikmat tersebut atas satu asbab kerana mempercayai kewujudan dan beriman kepada Allah yang Maha Esa. Fikir-fikirkan lah.
Sumber: Wahana Akademika – Universiti Gaja Mada, Indonesia