Bukan mudah untuk sebilangan manusia memiliki sifat pemaaf, ramai yang memilih untuk berdendam dari menjadi seorang yang pemaaf. Mungkin hati mereka terlalu sakit untuk berhadapan dengan kenyataan dari memaafkan seseorang yang telah melukakan hati dan perasaan mereka. Akan tetapi, menjadi seorang yang pendendam tidak diajar dalam Islam. sebaiknya, memaafkan itu perbuatan yang lebih elok. Firman Allah SWT:
Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (QS al – A’raf: 199).
Walaupun sikap memaafkan orang lain seolah-olah memperlihatkan sikap mengalah atau secara lahir menunjukkan bahawa seseorang itu lemah dan tidak memiliki kekuatan, namun Rasulullah SAW mengatakan bahawa barangsiapa yang memaafkan maka Allah SWT akan tambah kemuliaannya dan mengangkat darjatnya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
“…Tidak ada seorang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah SWT akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendah diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (HR Muslim).
Sesungguhnya menghiasi diri dengan sifat pemaaf adalah amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita sehari-hari, kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian dan dukacita, yang terkadang menyebabkan timbulnya perasaan marah, tidak puas hati dan sifat dendam dalam diri kita angkara daripada perbuatan orang lain yan tidak menyenangkan hati kita seperti dimalukan, difitnah, dihina, dizalimi dan seumpamanya. Perlu diingatkan, bahawa agama kita memerintahkan umatnya sentiasa bersifat sabar dan kita dianjurkan agar tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya perbuatan jahat itu hendaklah dibalas dengan cara yang lebih baik iaitu dengan kemaafan. Sabda Rasulullah SAW:
“Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan.” (HR Bukhari).
Ingat janji Allah SWT, barangsiapa yang memaafkan seseorang yang menyakiti kita Allah SWT akan mengangkat darjatnya lebih tinggi di hari kiamat dan ganjaran syurga bakal menanti. Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini. Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia. Allah SWT berfirman:
“… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (QS Ali ‘Imraan: 134).
Sumber: Harian Metro (11 Jun 2019)