Sehari dua, media sosial kecoh dengan video seorang penjual teh ais di Indonesia yang dimalukan oleh seorang yang kononnya dikenali sebagai ‘Gus Miftah’ dengan panggilan goblok (bodoh). Maka, berduyun – duyunlah warga maya mengecam tindakan lelaki yang kononnya dikenali dengan ketokohan agamanya itu kerana tindakannya yang mengeji seorang penjual teh ais demi kelangsungan hidup dia dan keluarganya. Tidak hanya netizen di Indonesia, malah isu ini meraih perhatian sebahagian besar netizen Malaysia kerana tindakan ‘tokoh agama’ itu.
Walaupun permohonan maaf telah dibuat dan klarifikasi telah diberikan, namun ia tidak memuaskan hati netizen kerana pada mereka seorang tokoh agama dan persona yang terkait rapat dengan jabatan kerajaan negara Indonesia, tidak sepatutnya individu itu bertindak sedemikian. Dalam hal ini, kita seharusnya mengambil iktibar dari peribahasa ‘ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk’. Ini kerana semakin kita merendah diri walaupun kita mempunyai gelaran atau jawatan yang tinggi, semakin kita dihormati. Apa yang lebih menguntungkan, semakin kita merendah diri semakin kita disayangi Allah SWT.
Manusia adalah antara makhluk Allah yang mendapat keistimewaan dan kedudukan paling mulia di sisi Allah SWT di alam ini. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al – Isra’, ayat 70:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Allah SWT sangat memuliakan orang yang merendah diri dan sentiasa tawaduk dalam segala hal. Apabila menjadi orang yang rendah diri bukan bererti kita menghina diri. Merendah diri akan meningkatkan lagi kualiti seorang manusia di sisi Allah SWT dan mendapat penghormatan pada pandangan manusia. Sabda Rasulullah SAW:
“Dan sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku untuk memiliki sifat tawaduk. Dan janganlah seseorang menyombongkan diri (berbangga diri) dan melampaui batas pada yang lain.” (HR Muslim).
Sumber: Kolum Agama, Berita Harian