Home Kemanusiaan/Motivasi ADAB BERINTERAKSI DI MEDIA SOSIAL – ‘TABAYYUN’ (PASTIKAN KESAHIHAN) BERITA SEBELUM SEBAR...

ADAB BERINTERAKSI DI MEDIA SOSIAL – ‘TABAYYUN’ (PASTIKAN KESAHIHAN) BERITA SEBELUM SEBAR AGAR TIDAK MENJADI AGEN PEMECAH BELAH MASYARAKAT KERANA MENYEBARKAN BERITA PALSU

714
0

Di zaman moden yang penuh dengan kecanggihan teknologi ini, kita boleh berinteraksi dengan pelbagai peranti seperti telefon bimbit, tablet, komputer dan sebagainya. Dengan adanya internet, sesuatu berita yang belum dipastikan kesahihannya telah disebarkan secara meluas melalui media sosial seperti Facebook, Instragram, Twitter, WhatsApp, Telegram, Skype dan sebagainya.

Walaupun isu ini telah disentuh berkali-kali, akan tetapi ia masih tetap perlu dimainkan semula berikutan jumlah penggunaan media sosial oleh manusia yang semakin bertambah tahun demi tahun. Ramai umat manusia pada hari ini yang menjadikan media sosial tempat meluahkan perasaan dan memberikan pendapat. Tidak kurang juga ramai menggunakannya untuk saling mengecam dan mengeji antara satu sama lain.
Lalu, bagaimana pula dengan sebahagiannya yang menggunakan platform ini untuk menyebarkan berita yang tidak sahih hingga menggugat keamanan dan memecahbelahkan masyarakat? Sudahlah kita tidak tahu sumbernya, kita sebarkan pula tanpa menyelidiki. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (QS al – Hujurat:12).

Isu orang kita pada hari ini ialah, kita gemar menyebarkan berita yang kita tidak tahu, sama ada ia benar mahupun tidak. Asalkan, kita dapat memuaskan keinginan untuk tularkan sesuatu perkara yang dianggap pelik daripada kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat kita. Tanpa kita sedari, apa yang kita sebarkan itu menjadi titik punca kepada pertelagahan masyarakat hingga berpecah belah.

Islam menggalakkan kita untuk memeriksa sesuatu berita sebelum kita sebarkan kerana menyebarkan berita yang kita tidak tahu kesahihannya akan membawa kepada keburukan dan pencalaran maruah kepada pihak yang terlibat. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kalian orang fasik dengan membawa berita, maka periksalah dahulu dengan teliti, agar kalian tidak menuduh sesuatu kaum dengan kebodohan, lalu kalian menyesal akibat perbuatan yang telah kalian lakukan.” (QS al-Hujurat: 6).

‘Tabayyun’ (periksa kesahihan) dalam sesuatu berita atau maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada pihak lain adalah adab yang digariskan dalam syariat Islam, supaya kita tidak menanggung sekali dosa memfitnah kepada pihak yang lain. Jangan jerumuskan diri kita kepada dosa yang tidak dapat diampunkan oleh Allah SWT melainkan kita sudah diampunkan oleh individu atau pihak yang menjadi mangsa fitnah kita itu. Sabda Rasulullah SAW:

“Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (HR Muslim).

Sumber: Blog Aku Islam (https://akuislam.com/blog/guest/konsep-tabayyun/)