Home Uncategorized CAKNA DENGAN KESUSAHAN ORANG LAIN -MENDERMA DARAH ADALAH SEDEKAH YANG TERBAIK DEMI...

CAKNA DENGAN KESUSAHAN ORANG LAIN -MENDERMA DARAH ADALAH SEDEKAH YANG TERBAIK DEMI MENYELAMATKAN NYAWA INSAN LAIN TERUTAMA DALAM KEADAAN BEKALAN DARAH DI TAHAP KRITIKAL

687
0

Islam sangat menganjurkan umatnya agar berbuat kebaikan dan kebajikan sesama manusia. Atas dasar itulah Islam memperkenalkan konsep sedekah, infak dan juga wakaf yang menjadi sunah hasanah buat ummah. Bukankah agama Islam amat menitikberatkan berbuat baik sesama manusia? Seperkara lagi, berbuat kebaikan itu sudah dianggap sebagai satu sedekah oleh Allah SWT. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Setiap kebaikan adalah sedekah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Apabila menyebut berkenaan sedekah, kita lebih tertumpu kepada satu atau dua skop sahaja yang lebih berkisar terhadap sumbangan berbentuk wang ringgit dan keupayaan tenaga. Sedangkan dalam Islam, amalan sedekah itu melibatkan semua hal yang menghala kepada kebaikan buat insan lain. Justeru, bertitik tolak daripada pemahaman kita terhadap ayat Allah SWT, itu menunjukkan bahawa setiap Mukmin yang secara rela hati untuk menderma darah bagi memenuhi seruan pihak penguasa kesihatan awam di negara kita sebagai insan dan umat Islam yang menyahut seruan Allah SWT agar bertolong-tolongan dalam amal kebajikan.

Walaupun Hari Darah Sedunia diraikan setiap 14 Jun, namun sebagai manusia dan umat Islam kita perlulah bersikap cakna dan berbuat baik sesama manusia yang memerlukan. Kini, bekalan darah negara semakin berada di tahap kritikal dan memerlukan lebih banyak penderma darah bagi menyelamatkan nyawa insan-insan lain. Apatah lagi ketika pandemik Covid-19 ini, ada sesetengah kes memerlukan tranfusi darah dan jika keadaan ini berterusan maka bekalan darah akan cepat surut. Tidak salah rasanya kita menginfaqkan sedikit darah kita demi kelangsungan hidup manusia sejagat. Dengan mendermakan darah, kita sudah dianggap sebagai ‘hero’ kerana sudah berusaha menyelamatkan satu nyawa yang dalam kesusahan. Firman Allah SWT:

“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (QS al – Maidah: 32).

Penderma darah yang ikhlas kerana Allah juga ibarat seorang ‘pahlawan tidak didendang’ namun, jasa dan sumbangannya begitu besar dalam aspek cakna insan. Kita tentu pernah membaca laporan media tentang adanya kalangan masyarakat yang sanggup menderma darah mereka hingga lebih 100 kali dalam setahun. Mereka sedikitpun tidak mengharapkan penghargaan, jauh sekali meminta balasan. Sebaliknya, mereka insaf bahawa dengan sumbangan derma darah mereka itu bakal menyelamatkan nyawa insan lain.

Oleh yang demikian, janganlah kita takut untuk mendermakan darah kita untuk menyelamatkan hidup insan-insan lain. Ia sepatutnya menjadikan hal itu sebagai motivasi tinggi untuk kita terus menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa ingin berbuat kebaikan dan kebajikan sesama manusia lain khususnya dalam aspek amalan menderma darah.

Sumber: Harian Metro (3 Februari 2022)